KUALA LUMPUR 22 Mei — MyEG Services Berhad diramal meraih banyak manfaat apabila ia menambah baik perniagaan perkhidmatan bagi menjadi firma teknologi sepenuhnya melalui usaha sama (JV) dengan sebuah syarikat China, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah penyedia perkhidmatan elektronik kerajaan itu menjalinkan kerjasama dengan Guangxi Beitou IT Innovation Technology Investment Group Co Ltd itu akan membuka banyak peluang potensi dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Katanya, perjanjian JV yang dimeterai pada 11 April 2025 itu membolehkan pertukaran teknologi maklumat (IT) termaju apabila kedua-dua syarikat berkenaan menubuhkan Pusat Kerjasama dan Inovasi AI Malaysia-China di ibu pejabat MyEG di Petaling Jaya, Selangor.
"Pelbagai produk robotik dibangunkan itu bakal disewa kepada pengeluar industri pada kadar bulanan RM3,000 dan memberi keuntungan kepada MyEG apabila menyasar untuk memajak 1,000 unit menjelang akhir tahun ini," kata Maybank IB dalam satu nota kajiannya.
Selain itu, firma berkenaan menjangkakan JV tersebut akan memberikan MyEG peluang dalam aspek 'decentralized finance' (DeFi) atau penyahpusatan kewangan iaitu perkhidmatan kewangan rakan ke rakan berasaskan rantaian blok (blockchains) terutamanya Ethereum.
Berdasarkan perkembangan positif daripada potensi besar perniagaan berkenaan, firma itu meningkatkan ramalan hasil diperoleh MyEG berturut-turut pada tempoh FY25, FY26 dan FY27 masing-masing kepada sebanyak 14 peratus, 16 peratus dan 10 peratus.
Maybank IB yang optimis dengan prospek tersebut turut mengekalkan saranan "beli" ke atas MyEG dengan harga sasaran sesaham diunjur meningkat kepada RM2.09 berbanding sebelum ini hanya RM1.70. - DagangNews.com








