MyCIF perkenal skim baharu, insentif perkongsian keuntungan dengan peruntukan RM50 juta mudahkan pembiayaan PMKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyCIF perkenal skim baharu, insentif perkongsian keuntungan dengan peruntukan RM50 juta mudahkan pembiayaan PMKS

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac – Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) memperkenalkan inisiatif baharu bagi memudahkan perniagaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) mendapatkan pembiayaan, selaras dengan usaha negara untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi.

 

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sempana Hari Libat Urus MyCIF yang berlangsung di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan tema "Modal Pemangkin untuk Impak Negara".

 

Antara inisiatif utama adalah Skim Ekonomi Perak (Silver Economy), yang direka untuk menggalakkan pelaburan dalam perniagaan yang menyokong populasi warga emas Malaysia. 

 

Fokus skim ini termasuk teknologi penjagaan, penjagaan kesihatan khusus, dan kediaman warga emas.

 

Selain itu, MyCIF memperkenalkan Insentif Perkongsian Keuntungan bagi modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) bagi urus niaga yang disokong melalui platform pengumpulan dana awam berasaskan ekuiti (ECF). 

 

MyCIF akan berkongsi 50 peratus daripada keuntungan dengan pelabur utama VC dan PE apabila pelaburan tersebut berjaya dilupuskan atau dijual.

 

Firma seperti Gobi Partners dan OSK Ventures International telah menyatakan minat untuk membawa urus niaga ini kepada pelabur ECF, sekali gus membuka peluang kepada pelabur runcit untuk menyertai pelaburan berimpak tinggi.

 

t

 

Bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini, MyCIF menerima peruntukan sebanyak RM30 juta melalui peruntukan Belanjawan 2026 serta tambahan RM20 juta lagi yang akan disalurkan kepada MyCIF pada tahun ini.

 

Selain memfokuskan pada warga emas, Skim Keterjaminan Makanan turut diperluaskan untuk merangkumi syarikat baharu dalam sektor agri-teknologi, bertujuan menggalakkan pelaburan dalam inovasi pertanian serta meningkatkan produktiviti dan keselamatan makanan negara.

 

Sejak penubuhannya pada 2019, MyCIF telah melabur sebanyak RM1.5 bilion dan dengan pelaburan swasta berjumlah RM6.2 bilion, dana keseluruhan mencapai RM7.7 bilion, menyokong lebih 11,500 PMKS di seluruh negara.

 

Pulangan daripada pelaburan bersama MyCIF juga telah membolehkan geran kerajaan sebanyak RM290 juta dikitar semula sebanyak 5.2 kali ganda, menunjukkan impak berterusan model ini terhadap pembangunan PMKS.

 

Sementara itu, Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata model MyCIF berjaya menggabungkan modal awam dengan kebijaksanaan kolektif pelabur swasta untuk memenuhi keperluan pembiayaan yang sukar diperoleh melalui saluran konvensional.

 

"Model MyCIF memacu sinergi daya tahan modal awam dengan kebijaksanaan kolektif orang ramai. Saya yakin model ini berpotensi berkembang lebih jauh lagi bagi menangani keperluan pembiayaan dan memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

 

Majlis yang berlangsung itu turut menampilkan galeri digital tentang perjalanan enam tahun MyCIF. Lebih 150 wakil hadir, termasuk daripada agensi kerajaan, pelabur profesional seperti modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE), serta platform pembiayaan alternatif seperti ECF dan pinjaman P2P.

 

Kehadiran semua pemegang taruh itu membolehkan PMKS membina jaringan, mencari pelabur, dan mendapatkan pembiayaan dengan lebih mudah. Ia juga membuka peluang untuk kerjasama dan pertumbuhan perniagaan bagi PMKS yang sukar mendapat modal melalui saluran konvensional. - DagangNews.com