KUALA LUMPUR 25 April — Datuk Muzaffar Hisham meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Maybank Islamic Berhad berkuat kuasa 24 April 2025.
Menurut sumber, pengundurannya berlaku selepas lebih setahun pelantikannya pada 1 Mac 2024 dan beliau seterusnya akan menerajui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).
Susulan peletakan jawatan tersebut, Malayan Banking Berhad (Maybank) melantik Nor Shahrizan Sulaiman sebagai pegawai yang bertanggungjawab terhadap Maybank Islamic.
BPMB ketika ini diketuai oleh CEO kumpulan sementara, Mohamed Nazri Omar, berikutan pemergian Roni Abdul Wahab yang memegang jawatan tertinggi itu sejak 8 April 2022.
Beliau sebelum ini berkhidmat di Khazanah Nasional Berhad dan HSBC Bank Berhad.
Sementara itu, Presiden dan CEO Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli mengucapkan terima kasih kepada Muzaffar atas sumbangannya sepanjang 14 tahun bertugas di Maybank.
“Beliau telah memainkan peranan penting dalam mengemudi francais perbankan Islam kami ke arah mencapai kepimpinan global sebenar, selaras dengan strategi M25+ kami,” katanya.
Beliau juga memaklumkan, proses untuk mengenal pasti CEO kumpulan baharu Maybank Islamic akan dimulakan dengan serta-merta dan keputusan diumumkan dalam masa terdekat.

Nor Shahrizan pula mengambil alih pengurusan harian Maybank Islamic dan akan terus menjalankan tugas semasanya itu, sehingga CEO kumpulan yang baharu dilantik kemudian.
Maybank menyaksikan banyak perubahan kepimpinan tertinggi pada 2024 dan 2025. Pelantikan Muzaffar sendiri susulan pemergian Datuk Mohamed Rafique, yang bersara pada Jun 2024.
Pada Februari 2025, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank, Khalijah Ismail telah meninggalkan syarikat perbankan itu berikutan siasatan dalaman. - DagangNews.com








