KUALA LUMPUR 31 Okt - Mudajaya Group Bhd menjual empat lot tanah pegangan bebas di Ijok, Selangor dengan nilai keseluruhan RM36.8 juta sebagai sebahagian usaha kumpulan untuk menjana tunai daripada aset bukan teras serta mengukuhkan kedudukan kewangannya.
Syarikat itu menjangkakan keuntungan pelupusan sebanyak RM24.06 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), dengan proses penyiapan dijangka pada suku pertama 2026.
Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, hasil jualan akan digunakan terutamanya bagi modal kerja dan keperluan operasi kumpulan.
Anak syarikatnya, Mudajaya Corporation Bhd, menandatangani perjanjian jual beli dengan Serba Wangi (KL) Sdn Bhd bagi pelupusan empat lot tanah tersebut yang meliputi kawasan seluas kira-kira lapan hektar dan terletak di Jalan Bukit Badong, Ijok.
Serba Wangi merupakan syarikat yang terlibat dalam pengeluaran dan penjualan beras, gula serta tepung, selain turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan.
Pelupusan itu akan dijalankan berdasarkan keadaan semasa (as-is, where-is basis), termasuk bangunan yang terdapat di tapak tetapi tidak melibatkan jentera dan peralatan yang kini berada di situ.
Mudajaya menjelaskan, harga jualan tersebut mencerminkan kadar pasaran semasa, dan tiada penilaian rasmi dijalankan bagi urus niaga berkenaan.
Nisbah Hutang Menurun
Selepas penjualan itu, nisbah hutang kepada ekuiti kumpulan dijangka menurun sedikit kepada 1.13 kali berbanding 1.19 kali sebelum ini.
Sehingga 30 Jun 2025, jumlah pinjaman kumpulan adalah sebanyak RM619.07 juta, terdiri daripada RM293.9 juta pinjaman jangka panjang dan RM325.16 juta pinjaman jangka pendek, dengan kadar faedah purata wajaran sebanyak 6.14% setahun.
Tunai dan baki bank Mudajaya pula berjumlah RM172.46 juta pada akhir Jun 2025.
Pada Julai lalu, kumpulan itu mencadangkan penempatan persendirian sehingga 10% daripada modal saham diperbesarkan bagi mengumpul sehingga RM25.96 juta, yang sebahagian besarnya digunakan untuk mengurangkan pinjaman. - DagangNews.com








