KUALA LUMPUR 4 Feb - Persekutuan Pelancongan Malaysia (MTF) memohon supaya kerajaan dapat mengembalikan semula pengecualian cukai jualan untuk kenderaan pelancongan sehingga Julai depan.
Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, langkah itu dapat menyokong pemulihan dan persediaan industri pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, yang dijangka menarik 35 juta orang pelancong.
"Jika diluluskan, pengendali pelancongan dan pihak berkepentingan pasti mengambil peluang daripada insentif ini dan komited terhadap pembelian banyak kenderaan baharu,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Malah pengecualian itu ujar beliau, dijangka dapat memastikan infrastruktur pengangkutan pelancongan di seluruh negara ini bersedia dengan lebih baik untuk memenuhi jangkaan lonjakan pelawat antarabangsa.
Inisiatif itu, sebelum ini dilaksanakan sehingga 31 Disember 2022 sebelum dilanjutkan kepada 31 Disember 2024 lalu. Ia diperkenalkan untuk meringankan beban kewangan pengusaha ketika wabak Covid-19.
Kok Liang namun berkata ramai pengusaha pelancongan didapati tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya langkah pengecualian itu kerana industri ini masih dalam fasa pemulihan pasca pandemik berkenaan.
"Dengan tamat tempohnya, pengendali kini menghadapi peningkatan kritikal kos seperti penggantian," katanya merujuk cukai jualan 10 peratus ke atas bas persiaran antara RM70,000 dan RM100,000, bergantung model.
Tambah beliau, memandangkan penghantaran bas baharu mengambil masa sehingga sembilan bulan, lanjutan tambahan pengecualian itu menggalakkan pengusaha membuat tempahan dan meringankan beban kewangan.
Beliau berkata, bilangan kenderaan pelancongan sedia ada di Malaysia semakin tua, dan menggantikan kenderaan ini kepada moden berteknologi tinggi yang dilengkapi ciri keselamatan terkini adalah perlu.
Ini juga ujar Kok Liang, demi mengekalkan tahap kualiti perkhidmatan dan memastikan pengalaman perjalanan yang selesa kepada para pelancong luar terutamanya yang kali pertama melawat Malaysia.
"Ramai pengusaha namun kesal apabila tamat tempoh pengecualian itu yang menyukarkan mereka komited menaik taraf armada bas. Industri pelancongan baru pulih dan aliran tunai kekal jadi kebimbangan utama.
"Mengaktifkan semula pengecualian cukai jualan akan beri pelepasan kos yang diperlukan serta membolehkan pelaburan dalam kenderaan baharu dan menambah baik perkhidmatan,” katanya. - DagangNews.com








