KUALA LUMPUR 7 Ogos – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah memeterai Perjanjian Tambahan Ketujuh (SA7) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi pembinaan Seksyen D projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Seksyen D merupakan sambungan dari stesen terakhir di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang, ke Westports dan Northport.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata pemeteraian perjanjian ini sekaligus mengesahkan bahawa CCCC akan melaksanakan Seksyen D sebagai kontraktor utama bagi menyiapkan projek tersebut.
“Akan ada pengumuman pembangunan lanjut yang akan dibuat dari semasa ke semasa berkaitan perkara ini,” katanya kepada media di Putrajaya.
Beliau berkata, SA7 merangkumi pembinaan laluan sepanjang 25 kilometer dari Jalan Kastam di Pelabuhan Klang ke Northport dan Westports.
“Ia akan melibatkan pembinaan landasan meter gauge dan standard gauge secara serentak di sepanjang laluan tersebut.
“Kita sudah mempunyai landasan meter gauge sedia ada di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan kini standard gauge juga akan dibina, bermakna kedua-dua jenis landasan akan dibangunkan secara bersebelahan menuju ke Northport dan Westports,” jelas Darwis.
Menurut beliau, pembinaan Seksyen D adalah penting bagi melengkapkan keseluruhan rangkaian ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor.
“Kita tidak akan berhenti di Jalan Kastam sahaja, tetapi akan menyambungkan terus ke dua pelabuhan utama negara, iaitu Northport dan Westports. Hasrat kita adalah untuk memastikan hubungan 'land bridge' antara Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang dapat direalisasikan**,” ujarnya.
Tambah beliau, SA7 merupakan sebahagian daripada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang telah dimeterai pada November 2016.
Untuk rekod, perjanjian tambahan tersebut telah diumumkan sebelum ini oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada April lalu. - DagangNews.com








