MPC, MPI perkenal dua diploma kewartawanan berteraskan AI dan keselamatan siber | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MPC, MPI perkenal dua diploma kewartawanan berteraskan AI dan keselamatan siber

MPI dan MPC bekerjasama memperkenalkan Diploma Profesional Kewartawanan AI dan Diploma Profesional Kewartawanan Keselamatan Siber di bawah Program Akademi Dalam Industri (ADI) 
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 April – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Malaysian Press Institute (MPI) memperkenalkan dua program Diploma Profesional Kewartawanan baharu bagi memperkukuh kemahiran wartawan selari dengan perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

 

Dua kursus tersebut ialah Diploma Profesional Kewartawanan AI dan Diploma Profesional Kewartawanan Keselamatan Siber di bawah Program Akademi Dalam Industri (ADI) 

 

Program tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada agenda ADI yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat berasaskan industri serta peningkatan produktiviti tenaga kerja sektor media melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pekerjaan.

 

Dalam satu kenyataan bersama, MPC dan MPI berkata kewujudan program ini adalah bagi memenuhi keperluan semasa industri media yang semakin dipacu oleh penggunaan teknologi AI, analitik data serta peningkatan risiko keselamatan siber dalam ekosistem kewartawanan moden.

 

“Diploma Profesional Kewartawanan AI memberi penekanan kepada penggunaan kecerdasan buatan dalam penghasilan dan penyebaran berita termasuk automasi kandungan, analisis data, pengesanan maklumat palsu serta pemahaman terhadap algoritma digital yang mempengaruhi aliran maklumat.

 

“Sementara itu, Diploma Profesional Kewartawanan Keselamatan Siber pula memberi fokus kepada aspek ancaman siber, perlindungan data serta pelaporan isu keselamatan digital secara bertanggungjawab dalam persekitaran media yang semakin terhubung,” menurut kenyataan itu.

 

t

 

Kedua-dua program itu turut menekankan aspek etika kewartawanan bagi memastikan penggunaan teknologi baharu tidak menjejaskan ketepatan, integriti dan keseimbangan dalam pelaporan berita.

 

Program berkenaan dibangunkan melalui pendekatan ADI yang menggabungkan latihan teori dan praktikal secara bersepadu bagi meningkatkan kecekapan kerja, kualiti penyampaian maklumat serta produktiviti tenaga kerja industri media.

 

Pelaksanaannya akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian selama tiga bulan secara intensif dengan pendekatan pembelajaran fleksibel, membolehkan peserta mengikuti latihan tanpa mengganggu tugas hakiki di organisasi media masing-masing.

 

Program ini disasarkan kepada wartawan dan petugas media berumur antara 18 hingga 40 tahun yang sedang berkhidmat dalam industri media, namun penyertaan hanya terbuka melalui pencalonan majikan masing-masing kepada MPI sebagai syarat utama kemasukan.

 

Menurut penganjur, kaedah pemilihan ini bertujuan memastikan hanya calon yang benar-benar berpotensi serta relevan dengan keperluan organisasi dipilih bagi memaksimumkan impak latihan terhadap produktiviti tempat kerja.

 

Tawaran penyertaan adalah terhad kepada hanya 40 peserta bagi kedua-dua program, menjadikannya program eksklusif yang memberi penekanan kepada kualiti pembelajaran, pemantauan rapi serta keberkesanan latihan.

 

MPI turut memaklumkan bahawa satu sesi taklimat khas akan diadakan kepada ketua pengarang dan pengurusan tertinggi organisasi media selepas tawaran dibuka bagi memberi penerangan terperinci mengenai struktur, pelaksanaan serta manfaat program kepada industri.

 

t
Ketua Pegawai Eksekutif MPI Dr Ainol Amriz Ismail

 

Kedua-dua program ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui London Examination Board yang meningkatkan nilai profesional serta pengiktirafan kompetensi peserta di peringkat global.

 

Dari segi pelaksanaan kurikulum, MPC dan MPI bekerjasama dengan UTMSPACE Services Sdn. Bhd. bagi memastikan modul latihan memenuhi piawaian akademik serta selari dengan keperluan semasa industri media.

 

Selain itu, peserta yang layak akan ditawarkan dana inisiatif di bawah MPC, manakala sebahagian kos program turut boleh dituntut melalui levi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) oleh organisasi media bagi menggalakkan pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat.

 

Dalam jangka panjang, MPC dan MPI menyasarkan program ini sebagai model pembangunan bakat berasaskan industri yang mampu memperkukuh daya saing sektor media negara serta melahirkan wartawan yang lebih kompeten dalam era digital, AI dan keselamatan siber.

 

Dalam pada itu, MPI memaklumkan ia dilantik sebagai sekretariat penganjuran Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) oleh MPC bagi menyelaras keseluruhan pelaksanaan program anugerah tersebut. Pelantikan ini dibuat berdasarkan kepakaran MPI dalam bidang pembangunan kewartawanan, pengurusan anugerah media serta jaringan kukuh dengan organisasi media di seluruh negara.

 

Anugerah itu memperkenalkan tiga kategori utama iaitu Media Cetak/Portal Berita, Media TV/Radio/Portal (Video Dalam Talian) serta Media Sosial (Video Pendek). Kategori Media Cetak/Portal Berita memberi penekanan kepada penulisan yang analitikal, berfakta dan mendalam berkaitan ADI khususnya dalam aspek produktiviti, kebolehpasaran dan pembangunan bakat tenaga kerja.

 

Sementara itu, kategori Media TV/Radio/Portal (Video Dalam Talian) menilai kandungan penyiaran yang menggabungkan elemen visual, audio dan penceritaan berkesan bagi menyampaikan mesej ADI kepada khalayak dengan lebih jelas dan mudah difahami manakala kategori Media Sosial (Video Pendek) pula memberi fokus kepada kandungan kreatif, ringkas dan berimpak tinggi yang dihasilkan melalui platform digital, selaras dengan perubahan trend penggunaan media dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. - DagangNews.com