KUALA LUMPUR 14 Mei — Sektor peruncitan tempatan diunjur terus menyaksikan pergerakan momentum yang sihat disokong pelbagai faktor termasuk kenaikan gaji penjawat awam, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, antara faktor lain yang menyokong termasuk pelarasan upah minimum, skim bantuan tunai dan pemulihan sektor pelancongan.
Katanya, berdasarkan kepada situasi semasa, pertumbuhan perbelanjaan pengguna dalam sektor peruncitan masih kuat pada tempoh 1QFY25 dipacu musim perayaan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
"Faktor-faktor ini didapati berjaya meningkatkan pendapatan boleh guna dan memacu pertumbuhan penggunaan yang kekal stabil pada suku tersebut," katanya dalam satu nota kajian.
Perdagangan runcit terus kukuh, berkembang 6.6 peratus tahun ke tahun (yoy) kepada RM66.98 bilion pada Mac 2025, didorong sebahagiannya oleh peningkatan perbelanjaan ketika perayaan.
Situasi ini meningkatkan jualan runcit terkumpul kepada RM198.26 bilion pada 1QFY25, naik 6.9 peratus yoy yang turut menunjukkan tahap kekuatan mampan dalam corak kepenggunaan domestik.
"Jualan runcit meningkat 2.8 peratus bulan ke bulan, menandakan pemulihan selepas penurunan bermusim Februari dengan arah aliran berdaya tahan disokong asas permintaan kukuh," katanya.
MIDF Research memberi saranan "beli" ke atas Aeon Co (Malaysia) Berhad dengan harga sasaran (TP) RM1.77 sesaham sebagai pilihan utama firma itu kerana dipacu hasil sewa hartanahnya yang stabil.
Ia turut berpendirian positif terhadap sektor pengguna dan mengekalkan saranan "beli" ke atas Fraser & Neave Holdings Berhad dengan TP diunjurkan sebanyak RM32.68 sesaham. - DagangNews.com








