Mohd Nazlee Kamal kekal sebagai CEO Solution Group selepas gagal dipilih semula ke lembaga pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mohd Nazlee Kamal kekal sebagai CEO Solution Group selepas gagal dipilih semula ke lembaga pengarah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 Jun – Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal gagal mempertahankan kedudukan dalam lembaga pengarah Solution Group Berhad apabila usul pemilihan semulanya ditolak majoriti pemegang saham.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, tokoh korporat dan bioteknologi terkenal itu terhenti memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif berkuat kuasa 16 Jun 2026.

 

Perkembangan terkini berkenaan susulan Resolusi Biasa 2 berhubung pemilihan semula Mohd Nazlee, 62, menjadi satu-satunya usul yang tidak diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu.

 

"Keputusan undian menunjukkan 56.35% saham mengundi menolak pencalonan, manakala 43.65% menyokong untuk beliau dapat terus menganggotai lembaga pengarah syarikat," kata Solution Group.

 

Bagaimanapun, kumpulan menjelaskan Mohd Nazlee akan terus kekal memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta menerajui operasi serta hala tuju strategik syarikat berkenaan.

 

Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam industri bioteknologi dan farmaseutikal sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp).

 

Selain itu, Mohd Nazlee pernah menerajui Solutions Biologic Inc dan Solution Bioforce Sdn Bhd, di samping merupakan bekas profesor kejuruteraan kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Menurut syarikat itu, beliau yang juga pernah memegang jawatan Pengerusi Monash University Malaysia, turut memiliki kepentingan langsung sebanyak 2.29 juta saham biasa dalam Solution Group.

 

Dalam AGM sama, semua resolusi lain dibentangkan diluluskan termasuk pelantikan semula Grant Thornton Malaysia PLT sebagai juruaudit syarikat serta mandat penerbitan saham baharu. - DagangNews.com