KUALA LUMPUR 9 Julai –Reformasi kerajaan dalam sektor penjagaan kesihatan negara melalui pelaksanaan model bayaran sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) adalah langkah positif, namun dijangka memberi kesan sementara kepada margin keuntungan hospital swasta, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu yang mengekalkan saranan “overweight” terhadap saham sektor penjagaan kesihatan berkata, penubuhan jawatankuasa menteri untuk menetapkan garis masa pelaksanaan model DRG kepada penyedia perkhidmatan kesihatan swasta adalah satu langkah yang tepat.
Menurut Kenanga, fasa awal pelaksanaan sistem DRG yang berasaskan penilaian hasil rawatan dan keberkesanan kos dan bukan lagi kuantiti perkhidmatan akan bermula di hospital awam terpilih.
Kenanga menjangkakan impak awal terhadap pendapatan hospital swasta mungkin ketara bagi rawatan kes ringan atau bernilai rendah, terutamanya kepada KPJ Healthcare Bhd memandangkan lebih 95 peratus hasil syarikat disumbangkan oleh operasinya di Malaysia.
"Sebaliknya, IHH Healthcare Bhd dijangka kurang terkesan kerana hanya 17 peratus daripada pendapatan kumpulannya datang dari operasi di Malaysia bagi tahun kewangan lalu dan suku pertama berakhir 31 Mac 2025.
"Pelabur dijangka kekal berminat terhadap saham penjagaan kesihatan kerana sifatnya yang defensif,” kata Kenanga dalam satu nota kajiannya.
Antara pemacu jangka panjang sektor ini termasuk sentimen pelaburan yang berhati-hati, penuaan populasi, peningkatan pendapatan isi rumah dan peningkatan kes penyakit kronik secara global.
Kenanga turut memaklumkan bahawa kedua-dua IHH dan KPJ telah pun memulakan peralihan ke arah model penjagaan kesihatan berasaskan nilai seperti DRG, dengan purata tempoh rawatan pesakit sekitar tiga hari.
Penggunaan teknologi seperti pembedahan bantuan robot dan kaedah rawatan lanjutan juga dijangka mempercepatkan proses pemulihan dan tempoh rawatan lebih singkat, berdasarkan data awal.
Mengenai pelaksanaan cukai jualan enam peratus ke atas warga asing yang mendapatkan rawatan di hospital swasta, Kenanga berpandangan impaknya boleh diurus oleh KPJ dan IHH memandangkan pelancong perubatan hanya menyumbang sekitar lima hingga tujuh peratus daripada hasil mereka.
Firma itu juga menjangkakan penyenaraian Sunway Healthcare Group menjelang hujung tahun ini atau awal tahun hadapan bakal menjadi pemangkin kepada penilaian semula saham penjagaan kesihatan di Bursa Malaysia.
Dalam pada itu, Kenanga menekankan keperluan segera untuk menangani isu pembiayaan kesihatan nasional, dan mencadangkan agar Malaysia meneliti model sistem Australia.
Negara itu menggunakan pendekatan pembayar tunggal namun mempunyai banyak penyedia yang membolehkan hospital awam dan swasta menawarkan kemudahan serta fungsi rawatan yang setara kepada pesakit.
Ini berbeza dengan sistem semasa Malaysia yang masih berasaskan pendekatan berbilang pembayar dan penyedia, yang sering menimbulkan ketidakseimbangan akses dan keberkesanan sumber dalam sistem penjagaan kesihatan negara.-DagangNews.com








