MN Holdings dapat kelulusan pemegang saham pinda perlembagaan untuk berpindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MN Holdings dapat kelulusan pemegang saham pinda perlembagaan untuk berpindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Mac – MN Holdings Berhad memperoleh kelulusan pemegang saham untuk pindaan perlembagaan syarikat bagi membolehkan pemindahan penyenaraian saham dan waran syarikat dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan hari ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata undian itu disahkan oleh CSC Securities Services Sdn Bhd, pemeriksa bebas yang dilantik oleh syarikat.

 

“Hampir semua pemegang saham menyokong resolusi tersebut, dengan 167 pemegang saham bersetuju manakala seorang sahaja yang menentang cadangan tersebut,” katanya.

 

Keputusan ini adalah langkah strategik MN Holdings untuk meningkatkan profil syarikat di pasaran saham utama dan memberi peluang lebih besar untuk menarik pelabur institusi.

 

Syarikat berkata pindaan ini akan membolehkan pelaksanaan cadangan pemindahan penyenaraian secara lancar dan selaras dengan peraturan Bursa Malaysia.

 

Sebelum ini, Pengarah Urusan MN Holdings  Datuk Clement Toh berkata pemindahan ke Pasaran Utama mencerminkan kemajuan syarikat selama beberapa tahun terakhir, yang disokong oleh pertumbuhan pendapatan konsisten, kedudukan kewangan kukuh dan portfolio projek yang berkembang.

 

“Langkah ini adalah kemajuan yang sejajar dengan skala semasa dan tahap kematangan syarikat.

 

“Pengurusan MN Holdings yakin platform Pasaran Utama akan meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti syarikat di kalangan pelanggan, rakan niaga dan pelabur, seterusnya menyokong objektif pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya.

 

Pemindahan ini dijangka selesai pada suku kedua 2026, menandakan satu lagi pencapaian penting sejak penyenaraian syarikat di Pasaran ACE pada April 2022. - DagangNews.com