KUALA LUMPUR 24 April — Kejayaan MN Holdings Berhad memperoleh kontrak RM29.7 juta daripada Sunview Group Berhad dijangka menjana hasil pendapatan yang kukuh kepada syarikat tersebut sehingga FY27, kata Philip Capital.
Firma penyelidikan tersebut berkata, tender terbaharu di bawah Program Kuasa Hijau Korporat di Sungai Petani, Kedah itu turut meningkatkan buku pesanan tertunggak kumpulan kepada rekod tertinggi sebanyak RM1.2 bilion.
Situasi itu katanya, menyaksikan ia meraih RM1.1 bilion dalam kontrak baharu setakat ini serta diunjur menyumbang keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM2.1 juta pada FY26 sehingga FY27.
"Kami menjangkakan momentum lebih kukuh untuk tender berkaitan dalam 2026, didorong oleh pelancaran banyak program solar skala besar (LSS) meliputi LSS5, LSS5+ dan LSS6 yang akan datang," katanya dalam satu nota kajian.
Kesemua projek berkenaan kata Phillip Capital, ditetapkan untuk berpotensi mengeluarkan kuota bekalan tenaga elektrik sebanyak lebih 6GW sepanjang 2025 sehingga 2027.
Bagaimanapun kata firma itu, memandang ke hadapan, prospek MN Holdings dijangka positif dengan kontrak saluran paip kekal kukuh pada RM1.4 bilion merentasi pelbagai sektor.
Ini termasuk Tenaga Nasional Berhad dan Sarawak Energy sebanyak 40 peratus, pusat data (39 peratus), solar (11 peratus), air dan pembetungan (2 peratus), serta lain-lain (8 peratus).
"Kami tidak membuat sebarang perubahan pada unjuran pendapatan syarikat itu kerana kami menjangkakan hasil projek akan diiktiraf sebahagian besar pada FY26," kata Phillip Capital.
Sehubungan itu, firma tersebut mengulangi saranan "beli" dan harga sasaran RM1.68 sesaham. - DagangNews.com








