KUALA LUMPUR 3 Dis – MKH Bhd dan anak syarikatnya Hillpark Resources Sdn Bhd disaman oleh 47 pemilik rumah di Shah Alam yang menuntut lebih RM15 juta, mendakwa kecuaian pengurusan kolam takungan menyebabkan dua kejadian banjir dalam tempoh enam bulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MKH berkata pemilik rumah di Bandar Hillpark, Puncak Alam, yang diketuai oleh Mohd Zikri Md Zaini, telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa terhadap MKH dan Hillpark Resources, yang merupakan pemaju perbandaran tersebut.
Para plaintif mendakwa MKH dan Hillpark Resources gagal melaksanakan tanggungjawab perundangan serta kejuruteraan dalam pembinaan dan penyelenggaraan kolam takungan, yang didakwa menjadi punca kepada kejadian banjir pada 29 Disember 2024 dan 23 April 2025 di kawasan kediaman mereka.
Mereka menuntut antara lain ganti rugi khas sebanyak RM1.03 juta, ganti rugi am RM500,000 bagi setiap rumah untuk 28 unit berjumlah RM14 juta, selain ganti rugi teladan yang akan ditentukan oleh mahkamah.
Selain tuntutan kewangan, para pemilik rumah turut memohon perintah mahkamah supaya MKH dan Hillpark Resources membina semula kolam takungan mengikut spesifikasi yang diluluskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), menyediakan pelan mitigasi banjir yang komprehensif serta melantik perunding kejuruteraan bebas yang diperakui JPS bagi menjalankan audit teknikal ke atas struktur tersebut.
MKH berkata pihaknya telah dinasihatkan oleh peguam kumpulan itu mempunyai alasan kukuh untuk menentang saman berkenaan memandangkan MKH bukan pemaju Bandar Hillpark dan tidak terlibat dalam pembinaan kolam takungan tersebut.
Menurut MKH, Hillpark Resources kini mendapatkan nasihat undang-undang bagi mempertahankan tuntutan itu, dan berdasarkan penilaian awal syarikat, kolam takungan tersebut telah dibina mematuhi keperluan pihak berkuasa serta berdasarkan khidmat nasihat profesional semasa pembinaannya.
Dari sudut kewangan, MKH menegaskan tindakan undang-undang berkenaan tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.
Di pasaran saham, saham MKH naik satu sen atau 0.96% untuk ditutup pada RM1.05 pada Selasa, menjadikan permodalan pasaran kumpulan itu sebanyak RM615.88 juta. Bagaimanapun, setakat tahun ini, kaunter tersebut telah susut lebih 7%. - DagangNews.com








