KUALA LUMPUR 1 April – MK Land Holdings Berhad menerima pembiayaan berjumlah RM148.41 juta daripada BNP Paribas Malaysia Berhad yang terdiri daripada pinjaman tetap RM145.41 juta dan kemudahan kredit pusingan RM3 juta.
Pembiayaan ini adalah untuk membangunkan loji tenaga solar berkapasiti 29.99 megawatt di Mukim Padang Meha, daerah Kulim, Kedah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MK Land berkata pinjaman tetap digunakan untuk membiayai pembinaan, operasi dan penyelenggaraan loji serta kemudahan sambungan elektriknya.
“Kemudahan kredit pusingan pula untuk menampung keperluan modal kerja projek.
“Tempoh pinjaman tetap adalah lima tahun dengan bayaran pertama bermula enam bulan selepas projek siap, manakala kredit pusingan berjangka satu tahun dan boleh diperbaharui,” katanya dalam makluman tersebut.
Pembiayaan ini tidak menjejaskan struktur pemilikan saham syarikat kerana tiada penerbitan saham baru.
Ia juga dijangka tidak memberi kesan besar terhadap keuntungan atau aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Selepas pembiayaan digunakan, nisbah hutang kepada ekuiti syarikat dijangka meningkat daripada 0.063 kali kepada 0.181 kali.
Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan dalam pembiayaan ini.
Lembaga pengarah menegaskan pembiayaan ini adalah untuk kepentingan syarikat dan projek loji solar dijangka menyumbang kepada pembangunan tenaga hijau. - DagangNews.com








