MJets Air lancar perkhidmatan kargo terus pertama KL-Sandakan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MJets Air lancar perkhidmatan kargo terus pertama KL-Sandakan

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 24 Okt – MJets Air Sdn Bhd, anak syarikat MMAG Aviation Consortium Sdn Bhd yang merupakan cabang penerbangan MMAG Holdings Bhd (MMAG), melancarkan perkhidmatan kargo udara terus pertama antara Kuala Lumpur dan Sandakan, menandakan satu pencapaian penting dalam rangkaian kesalinghubungan kargo udara Malaysia.

 

Pengarah Eksekutif MMAG Holdings Bhd merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MJets Air, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, laluan terus baharu itu menghapuskan keperluan transit melalui Kota Kinabalu dan meningkatkan kecekapan logistik antara Semenanjung Malaysia dan Sabah.

 

 

 

 

 

 

“Perkhidmatan ini dijangka mempercepatkan perdagangan dan penghantaran untuk perniagaan serta pengguna di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, sekali gus membawa sambungan kargo udara yang lebih pantas dan boleh dipercayai ke rantau tersebut.

 

“Masa penghantaran ke Sabah akan menjadi lebih cepat dan pengeksport akan mempunyai saluran yang lebih cekap ke pasaran serantau melalui perkhidmatan sambungan kami ke Hong Kong,” katanya dalam satu kenyataan di sini.


 

bas

 

bas

 


Perkhidmatan tersebut diperkenalkan dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Menteiz Aviation Services dan Kementerian Pengangkutan. Ia beroperasi empat kali seminggu, dengan rancangan untuk diperluaskan kepada penerbangan harian apabila permintaan meningkat.

 

 

 

 

 

 

 

Ahmad Luqman menambah, inisiatif ini menyokong industri tempatan serta sejajar dengan usaha kerajaan di bawah kerangka ekonomi MADANI untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dan kemudahan perdagangan.

 

Kargo masuk ke Sandakan akan merangkumi penghantaran e-dagang, alat ganti, dan kargo am. Manakala penghantaran keluar akan memberi tumpuan kepada hasil laut, sarang burung, dan produk lain yang dihantar ke Hong Kong serta pasaran China. - DagangNews.com