KUALA LUMPUR 6 Mac – Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, mengumumkan pelancaran model Triton Edisi Juara sempena kemenangan Mitsubishi dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2025.
Triton Edisi Juara ditawarkan dalam dua varian iaitu Triton Athlete dan Triton AT Premium dan akan mula dijual pada 11 Mac 2026.
MMM berkata model ini mempunyai ciri khas dan rekaan yang diinspirasikan daripada dunia perlumbaan.
“Pelancaran ini memberi peluang kepada pelanggan memiliki Triton dengan spesifikasi lebih tinggi, gaya unik dan pengalaman memandu yang istimewa, berbeza daripada model Triton biasa.
"Triton Athlete dihadkan kepada 150 unit dan ditawarkan dalam warna Jet Black Mica. Varian ini menekankan kuasa, ketahanan, dan pengalaman memandu yang premium,” katanya dalam satu kenyataan.

Triton Athlete

Dari segi rekaan, Triton Athlete mempunyai corak khas yang ekslusif, tayar serbaguna, dan kerusi dengan hiasan kepala bercirikan perlumbaan. Paparan skrin 9 inci dan kamera pandangan sekeliling disediakan untuk memudahkan pemanduan di bandar atau ketika off-road.


Sementara itu, Triton AT Premium dihadkan kepada 120 unit dan hanya tersedia dalam warna White Diamond. Varian ini menekankan gaya sporty dan sesuai untuk pemandu yang ingin menonjolkan gaya hidup aktif.
Ciri luaran AT Premium termasuk rim sukan 18 inci berwarna hitam, bar hiasan dan corak ekslusif khas. Kerusi di dalamnya juga dilengkapkan dengan hiasan kepala berciri perlumbaan untuk pengalaman memandu lebih unik.
Dari segi harga, Triton Athlete dijual pada RM169,980 manakala Triton AT Premium berharga RM155,980 (atas jalan tanpa insurans). Pelanggan yang menempah model ini akan menerima penutup kunci khas dan set pelekat bertemakan perlumbaan.
Bagi prestasi enjin, Triton Athlete dilengkapi enjin diesel 2.4 liter dengan turbo dua peringkat, menghasilkan 204 kuasa kuda dan tork 470Nm.
Triton AT Premium pula menggunakan enjin sama tetapi menghasilkan 184 kuasa kuda dan tork 430Nm.
Sistem pacuan empat roda turut ditingkatkan untuk kedua-dua varian. Triton Athlete menggunakan sistem Super Select 4WD-II dengan tujuh mod pemanduan, manakala AT Premium menggunakan Easy Select 4WD dengan tiga mod.
MMM berkata sistem ini membolehkan pemandu menyesuaikan kenderaan mengikut keadaan jalan dan cuaca.
“Triton Athlete juga dilengkapi kawalan sudut aktif untuk meningkatkan kestabilan ketika membelok. Ciri keselamatan lain termasuk brek hadapan automatik bagi mengelak pelanggaran, amaran keluar lorong, kawalan kelajuan automatik, amaran titik buta dan amaran lalu lintas belakang.
“Semua model turut mempunyai sistem kawalan kestabilan dan cengkaman, kawalan menuruni bukit dan bantuan mula mendaki bagi memastikan pemanduan selamat dan selesa dalam semua keadaan,” katanya.
Kejayaan ini selari dengan pencapaian Pasukan Mitsubishi Ralliart yang memenangi tempat pertama dalam AXCR 2025 di Thailand, menamatkan perlumbaan sejauh 2,316 kilometer.
Pasukan ini turut memenangi anugerah pasukan berdasarkan prestasi gabungan kenderaan mereka.
Menurut MMM, pelancaran Triton Edisi Juara bukan sahaja meraikan kejayaan dalam perlumbaan, malah memberi peluang eksklusif kepada pelanggan Malaysia untuk memiliki kenderaan premium, berprestasi tinggi dan bergaya. - DagangNews.com








