KUALA LUMPUR 6 Mei — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mempertimbangkan untuk mewujukan pakej khas dalam usaha kerajaan mengurangkan kesan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas sektor tempatan yang terjejas.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah berkenaan masih lagi sedang dibincangkan dan bergantung kepada hasil rundingan perdagangan Malaysia dengan kerajaan AS dalam masa yang terdekat.
Beliau tidak memberikan sebarang butiran terperinci serta berkata, pada ketika ini, MITI memberi tumpuan kepada rundingan dengan AS dan sebaik sahaja rundingan tersebut selesai, pihaknya akan membuat tindakan susulan.
"Setelah rundingan berakhir, kami akan mengetahui potensi kesan, siapa yang akan terjejas, dan pada masa itu kami boleh membuat keputusan," katanya pada taklimat akhbar mengenai kad laporan suku tahunan kementerian itu.
Proses berkenaan katanya, dijangka dapat diketahui menjelang Julai 2025 dan selepas itu perbincangan material boleh diadakan manakala keputusan mengenai inisiatif khas tersebut boleh dilaksanakan oleh kerajaan.
Seterusnya kata Tengku Zafrul, MITI perlu berbincang dengan Kementerian Kewangan mengenai ruang fiskal yang ada dengan sektor paling terdedah kepada tarif AS itu antaranya ialah elektrik dan elektronik.
Turut disenaraikan kerajaan tambah beliau, ialah sektor peranti perubatan, farmaseutikal, automotif dan aeroangkasa, jentera dan peralatan, perabot, serta minyak sawit dan produk yang berasaskan getah.
Lebih 60 peratus daripada eksport Malaysia ke AS pada 2024 merupakan barangan elektrik dan elektronik bernilai RM119.86 bilion, dengan hanya 59 peratus daripadanya akan dikecualikan 10 peratus tarif tambahan semasa itu.
Baki 41 peratus barangan tersebut yang bernilai RM49.54 bilion, akan terjejas oleh tarif berkenaan serta ditetapkan meningkat kepada sebanyak 24 peratus jika rundingan perdagangan dengan AS gagal dimuktamadkan.
Malaysia juga banyak mengeksport peralatan optik dan saintifik, mesin dan alat ganti, serta produk getah dan kayu kepada ekonomi terbesar dunia itu dan rakan dagangan utamanya.
Rundingan antara Malaysia dan AS bermula pada 6 Mei 2025, dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa mengetuai perbincangan sebagai ketua perunding Malaysia, kata Tengku Zafrul.
Rundingan tersebut juga tambah beliau, akan bersifat timbal balik, dengan kedua-dua pihak bersedia untuk bersama-sama mengurangkan tarif masing-masing.
"Jika dikurangkan, kita juga mahu memastikan ia tidak membahayakan syarikat Malaysia atau ekonomi. Kita mahukan sesuatu yang boleh dirundingkan dan sudah pastinya kami terbuka untuk itu," kata beliau.
Perkara lain yang disenaraikan MITI dalam langkah seterusnya juga termasuk kerjasama dengan pelbagai kementerian berkaitan untuk menangani halangan bukan tarif dan meningkatkan perdagangan dua hala AS, tambahnya. - DagangNews.com








