KUALA LUMPUR 14 Julai - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan semua eksport, penghantaran semula dan transit cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) kini tertakluk kepada Permit Perdagangan Strategik (STP), berkuat kuasa serta-merta.
Langkah itu dikuatkuasakan di bawah Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010) melalui peruntukan Kawalan Serba Guna (Catch-All Control), yang memerlukan pemberitahuan kepada pihak berkuasa dalam tempoh 30 hari sekiranya terdapat syak yang munasabah barangan tersebut boleh disalah guna atau digunakan untuk aktiviti terlarang.
“Inisiatif ini bertujuan menutup jurang peraturan sementara Malaysia menjalankan kajian lanjut mengenai kemasukan cip AI berprestasi tinggi yang berasal dari Amerika Syarikat ke dalam Senarai Barangan Strategik (SIL),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Langkah itu menunjukkan hasrat Malaysia mahu mengetatkan pengawasan dalam sektor teknologi sensitif dan mencerminkan usaha antarabangsa yang lebih meluas bagi mencegah penyebaran barangan dwi-guna terutama ketika kebimbangan geopolitik yang semakin meningkat terhadap teknologi AI.
Kementerian itu berkata, mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar STA 2010 atau peraturan berkaitan akan berdepan tindakan undang-undang yang tegas.
MITI turut menegaskan,Malaysia kekal komited terhadap piawaian antarabangsa dalam tadbir urus perdagangan dan tidak akan membenarkan bidang kuasanya disalah guna untuk mengelak kawalan eksport atau terlibat dalam aktiviti haram.
“Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan penyalahgunaan bidang kuasanya bagi aktiviti perdagangan haram. MITI kekal komited untuk mengekalkan persekitaran perdagangan yang selamat, terjamin, telus dan berasaskan peraturan bersama semua rakan dagangnya," katanya.- DagangNews.com








