MINTRED, SDEC bekerjasama dengan TikTok Shop perkasakan e-dagang PMKS Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MINTRED, SDEC bekerjasama dengan TikTok Shop perkasakan e-dagang PMKS Sarawak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Nov – Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan TikTok Shop untuk melancarkan pertandingan jualan secara langsung (live selling) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri itu memanfaatkan e-dagang.

 

Inisiatif itu dilaksanakan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) serta Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

 

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif Sarawak Digital Mall yang berjalan selama dua tahun. 

 

Program itu melibatkan latihan, pembangunan kemahiran digital, kempen pemasaran dan akhirnya pertandingan jualan secara langsung sebagai usaha menyeluruh bagi meningkatkan keupayaan digital PMKS untuk menembusi pasaran lebih luas.

 

Pelancaran program itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri MINTRED, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025 di Kuching.

 

Awang Tengah berkata, PMKS memainkan peranan besar dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan memuji kerjasama strategik antara MINTRED, SDEC dan TikTok Shop sebagai inisiatif yang menyediakan platform serta sokongan digital kepada usahawan tempatan.

 

“Inisiatif ini bakal membuka peluang baharu pasaran, mengukuhkan daya saing perusahaan tempatan serta membawa produk Sarawak ke peringkat serantau dan global, sekali gus menyumbang kepada agenda ekonomi digital negeri,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Sudarnoto Osman berkata, program Sarawak Digital Mall dirangka secara berfasa bermula daripada latihan asas, pembangunan kemahiran lanjutan sehingga kempen pemasaran digital dan pertandingan jualan secara langsung.

 

“Ketika ini, e-dagang turut berfungsi sebagai pemangkin peluang ekonomi, digital dan pertumbuhan mampan bagi perniagaan kecil.

 

“Pertandingan ini bukan sekadar platform bersaing, tetapi memberi peluang kepada PMKS mempraktikkan kemahiran, membina keyakinan dan mengasah strategi jualan digital,” katanya.

 

Program tersebut selaras dengan hala tuju Pelan Ekonomi Digital Sarawak 2030 dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, dalam usaha memperkukuh transformasi digital serta mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih berdaya saing. - DagangNews.com