KUALA LUMPUR 11 Mei – Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) mencatat sejarah apabila meluluskan pembiayaan pertama di bawah Program Rintis Pembiayaan Disokong Harta Intelek (IP) WIPO–MIDF yang membuka lembaran baharu dalam landskap pembiayaan negara.
Buat pertama kalinya, kelulusan ini melibatkan harta intelek (IP) sebagai sebahagian daripada cagaran dalam penilaian kredit di bawah kerangka rasmi institusi kewangan tempatan.
Program rintis tersebut dilaksanakan hasil kerjasama antara MIDF dan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) menerusi Memorandum Persefahaman yang ditandatangani pada 24 September 2025.
Menurut MIDF, inisiatif ini bertujuan membangunkan rangka kerja pembiayaan baharu yang membolehkan aset tidak ketara seperti paten, teknologi dan jenama dinilai sebagai aset yang boleh dijadikan sandaran pinjaman.
“Fokus utama program ini adalah untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan inovasi yang sering berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan kerana kekurangan aset fizikal sebagai cagaran,” kata MIDF dalam satu kenyataan.
Dalam pelaksanaan sulungnya, sebuah PKS tempatan telah berjaya memperoleh kemudahan pembiayaan dengan menggunakan aset harta intelek sebagai komponen utama dalam penilaian kredit dan struktur jaminan pinjaman.
Proses penilaian tersebut melibatkan kaedah khusus bagi pengenalpastian, penilaian dan pengurusan risiko harta intelek yang dibangunkan di bawah rangka kerja program rintis berkenaan.
Program ini turut disokong dana khas berjumlah RM10 juta daripada SME Corp Malaysia bagi memperkukuh ekosistem pembiayaan berasaskan IP di negara ini.
Pelaksanaan teknikal pula disokong oleh Adastra Intellectual Property Sdn Bhd dan Inngot Ltd dari United Kingdom, yang bertanggungjawab terhadap penilaian IP, analisis risiko komersial serta pemindahan kepakaran kepada ekosistem tempatan.
Selain itu, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memainkan peranan penting dalam memastikan rangka kerja undang-undang berkaitan pendaftaran dan penguatkuasaan kepentingan sekuriti ke atas aset IP dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Program ini turut digerakkan melalui kerjasama strategik dengan MBSB Berhad yang menjadi sebahagian daripada kumpulan kewangan di bawah ekosistem MIDF.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa berkata, pencapaian ini membuktikan bahawa harta intelek kini diiktiraf sebagai aset bernilai yang mampu menyokong pertumbuhan syarikat inovatif.
“Ini merupakan titik perubahan dalam landskap kewangan kita, apabila idea dan inovasi kini boleh diterjemahkan kepada nilai ekonomi sebenar melalui sistem pembiayaan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah WIPO, Marco Aleman berkata, kerjasama ini menunjukkan potensi besar pembiayaan IP apabila pihak industri dan institusi kewangan bergabung dalam satu kerangka yang jelas dan praktikal.
Beliau berkata, inisiatif ini juga selaras dengan Pelan Tindakan WIPO dalam memperkukuh penggunaan IP sebagai pemacu ekonomi inovasi di peringkat global.
MIDF berkata beberapa permohonan tambahan kini sedang dalam semakan, dan program ini dijangka menjadi asas kepada pembangunan model pembiayaan baharu yang lebih inklusif serta menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi di Malaysia. - DagangNews.com








