MHB diramal catat pertumbuhan lebih baik selepas projek tenaga angin di Belanda siap - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MHB diramal catat pertumbuhan lebih baik selepas projek tenaga angin di Belanda siap - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mei — Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) diunjur mampu mencatatkan pertumbuhan hasil lebih baik apabila dua projek tenaga angin luar pesisir di Belanda dapat disiapkan, kata TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, jangkaan itu berdasarkan kepentingan kerja-kerja diterima serta dianggap amat utama di bawah Program 2GW yang ditawarkan sendiri oleh operator grid tenaga negara berkenaan, TenneT Netherlands.


Katanya, projek tersebut dirancang Kesatuan Eropah (EU) dengan sekurang-kurangnya terdapat bekalan elektrik 60GW menjelang 2030 dan 300 GW pada 2050 selaras sasaran sifar karbon serta penggunaan teknologi dan standard alam sekitar tertinggi.


"Kami menjangkakan pertumbuhan yang besar dalam segmen marin apabila projek-projek ini berkembang secara berterusan kerana setakat Mac 2025, tahap kemajuan siapnya kira-kira 4 peratus," kata TA Securities dalam satu nota kajiannya.


Berdasarkan kedudukan tahun kewangan 2024, projek tenaga angin yang dikendalikan MHB namun masih lagi adalah kekal kecil, apabila menyumbang hanya kira-kira RM23 juta, atau kurang daripada satu peratus berbanding jumlah keseluruhan hasil.

 

tennet

 

Selain itu kata firma berkenaan, MHB menerusi segmen marin turut telah menerima banyak manfaat daripada fasa peralihan negara kepada ekonomi hijau, terutamanya melalui aktiviti Tangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS).


TA Securities berkata, CCS menyumbang sebanyak RM1.3 bilion kepada hasil kumpulan pada FY24, menjana 37 peratus daripada jumlah hasil, berbanding RM1.2 bilion (38 peratus) pada FY23 dan hanya RM10.3 juta (1 peratus) pada FY22.


"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan peningkatan dalam aktiviti CCS untuk mengekalkan hasil keseluruhan mereka pada tahap yang lebih tinggi berikutan saingan sengit daripada negara-negara jiran dan China," kata firma tersebut.


Pelaburan syarikat-syarikat minyak utama dalam aktiviti huluan dijangka menyokong prospek segmen marin dan juga mengembangkan pangkalan pelanggannya untuk kapal pengangkut pembawa gas asli cecair di tengah-tengah peningkatan permintaan.


Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan saranan "beli" ke atas MHB namun menyemak semula harga sasaran sesahamnya kepada 49 sen berbanding 61 sen sebelum ini. - DagangNews.com