KUALA LUMPUR 29 Ogos – Meta Bright Group Berhad (Meta Bright), mengumumkan prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025), dengan mencatatkan peningkatan untung dan pendapatan yang lebih dua kali ganda, disokong sumbangan luas daripada segmen perniagaan utama.
Bagi tahun kewangan tersebut, pendapatan Kumpulan meningkat 133% kepada RM240.0 juta berbanding RM102.9 juta pada FY2024.
Keuntungan selepas cukai boleh diagihkan kepada pemilik syarikat (PATAMI) meningkat 21% kepada RM13.5 juta daripada RM11.1 juta pada FY2024, manakala jumlah keuntungan bersih mencatatkan RM16.9 juta, naik 48% berbanding RM11.5 juta setahun sebelumnya.
"Walaupun keuntungan suku tahunan sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya, secara keseluruhan, jika dikecualikan keuntungan penilaian sekali sahaja, Kumpulan mencatatkan prestasi asas lebih kukuh dengan sumbangan berterusan yang lebih tinggi daripada segmen teras," kata syarikat itu dalam kenyataan.
Menurutnya lagi, segmen bahan binaan kekal sebagai penyumbang terbesar, menjana RM192.5 juta pada FY2025 berbanding RM60.5 juta pada FY2024, mencerminkan peningkatan tiga kali ganda selepas penggabungan sepenuhnya Expogaya Sdn. Bhd., salah satu pembekal konkrit siap utama di Sabah.
Segmen ini terus mendapat manfaat daripada peruntukan RM6.7 bilion di bawah Bajet 2025 serta projek infrastruktur yang sedang berjalan, termasuk Lebuhraya Pan Borneo dan Jalan Penghubung Sabah-Sarawak.
Segmen hospitaliti merekodkan pendapatan RM24.9 juta, meningkat 2% berbanding RM24.4 juta pada tahun sebelumnya, disokong oleh permintaan lebih tinggi bagi tempahan pusat konvensyen dan bilik di Hotel Renai, satu-satunya hotel lima bintang di Kelantan.
Segmen penyewaan dan pembiayaan menyumbang RM9.4 juta, terutamanya daripada pendapatan sewa yang lebih tinggi di Australia sebelum berlakunya cabaran berkaitan tarif.
Perniagaan sewaan luar negara ini kemudiannya dijual melalui pelupusan Meta Bright Australia Pte Ltd pada Julai sebagai langkah strategik Kumpulan bagi menangani risiko transaksi rentas sempadan.
Keputusan ini terbukti tepat, kerana Kumpulan menanggung kerugian pertukaran asing RM3.0 juta pada suku keempat. Pelupusan ini mengurangkan pendedahan terhadap risiko rentas sempadan dan membolehkan modal dialihkan kepada perniagaan teras domestik dengan prospek pertumbuhan lebih jelas.
Segmen pembangunan hartanah menyumbang RM7.3 juta, sedikit menurun berbanding RM7.6 juta pada FY2024, disebabkan tiadanya keuntungan pelupusan dan pengiktirafan pendapatan lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
Perniagaan berkaitan tenaga pula mencatatkan peningkatan pendapatan lebih dua kali ganda kepada RM1.8 juta daripada RM0.9 juta, disokong oleh projek solar dan kecekapan tenaga tambahan yang telah siap, mencerminkan momentum yang semakin meningkat dalam divisyen ini.
Hartanah pelaburan menghasilkan RM4.1 juta, meningkat 18% berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pendapatan sewa berulang daripada aset yang diklasifikasikan semula di Jengka.
Mengulas prestasi ini, Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik, Derek Phang Kiew Lim berkata, FY2025 merupakan tahun penting bagi Meta Bright dengan pendapatan lebih daripada dua kali ganda dan PATAMI meningkat lebih 20%, manakala jumlah keuntungan meningkat hampir 50% tahun ke tahun.
"Ini menunjukkan kekuatan strategi pengkhususan kami, terutamanya dengan sumbangan berterusan daripada segmen bahan binaan, hospitaliti dan tenaga," katanya.
Ke hadapan, Kumpulan berhasrat membina momentum ini dengan mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga, memperluaskan usaha sama pengecasan EV dengan **ChargeHere** (operator pengecas terbesar yang beroperasi di bawah nama **Chargesini**), serta terus menyokong pertumbuhan infrastruktur Sabah melalui segmen bahan binaannya.
Pada masa sama, Kumpulan akan menumpukan perhatian pada penambahbaikan aset hospitaliti dan penerokaan projek pembangunan hartanah baharu, seiring dengan pendekatan kewangan yang berhemah.
Derek menambah portfolio pelbagai Kumpulan mula menjana keuntungan konsisten dan aliran tunai kukuh.
"Dengan pengembangan terkini dalam infrastruktur EV dan penyelesaian tenaga, Meta Bright berada pada kedudukan baik untuk memberikan aliran pendapatan berulang dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham," katanya. - DagangNews.com








