Meta Bright jalin kerjasama dengan ChargeHere perluas infrastruktur EV | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meta Bright jalin kerjasama dengan ChargeHere perluas infrastruktur EV

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai – Anak syarikat milik penuh Meta Bright Group Bhd iaitu Meta Bright Energy Sdn Bhd (MBE) telah menandatangani usaha sama strategik dengan ChargeHere EV Solution Sdn Bhd bagi mengembangkan kehadirannya dalam pasaran pengecas kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

 

Penyedia perkhidmatan tenaga boleh diperbaharui itu berkata, kerjasama tersebut menggabungkan kepakaran MBE dengan ChargeHere sebagai pengendali utama titik pengecas EV (charge point operator-CPO) di Malaysia untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan di seluruh negara.

 

Di bawah usaha sama itu, kedua-dua pihak akan menubuhkan syarikat baharu, Meta Bright Chargesini Sdn Bhd yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan, pemasangan dan operasi kemudahan pengecas EV di pelbagai lokasi strategik seperti pusat beli-belah, hotel, kawasan kediaman dan zon komersial.

 

Meta Bright Energy akan memegang pegangan majoriti sebanyak 51% dalam entiti baharu tersebut manakala baki 49% akan dimiliki oleh ChargeHere.

 

ChargeHere, yang beroperasi di bawah jenama “ChargeSini” kini mengurus rangkaian stesen pengecas EV terbesar di Malaysia dengan 935 stesen pengecas di lebih 300 lokasi serta lebih 32,000 pengguna aktif.

 

Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, kerjasama itu membolehkan pihaknya memanfaatkan kepakaran teknikal dan pengalaman operasi ChargeHere untuk memperkukuh kehadirannya dalam segmen infrastruktur EV yang berkembang pesat.

 

“Usaha sama strategik ini secara signifikan memperluaskan keupayaan kami dalam sektor tenaga boleh baharu khususnya dalam pembangunan infrastruktur EV. 

 

“Ia adalah satu pencapaian penting bagi Meta Bright dan sejajar dengan komitmen ESG serta strategi kami untuk menjana aliran pendapatan yang mampan dan berulang,” katanya dalam kenyataan.

 

Kedua-dua pihak telah mengenal pasti beberapa projek berkeutamaan tinggi yang telah mendapat kelulusan untuk dilaksanakan di bawah usaha sama itu dengan lokasi utama di Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

 

Selain itu, perancangan bagi fasa pengembangan seterusnya turut giat dijalankan melibatkan senarai projek yang luas termasuk tapak-tapak penting di Kuala Lumpur, Pahang, Melaka dan negeri-negeri lain.

 

Dalam perkembangan berasingan, Meta Bright turut mengumumkan pelupusan anak syarikat milik penuhnya di Australia, Meta Bright Australia Pty Ltd (MBA) pada harga RM25.37 juta.

 

Keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risiko kumpulan untuk mengurangkan pendedahan terhadap risiko operasi rentas sempadan, termasuk ketidaktentuan geopolitik, turun naik kadar pertukaran asing dan keadaan ekonomi global.- DagangNews.com