Meta Bright dapat kontrak RM15.5 juta daripada CCCC bekalkan konkrit di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meta Bright dapat kontrak RM15.5 juta daripada CCCC bekalkan konkrit di Sabah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac – Meta Bright Group Berhad memperoleh kontrak bekalan konkrit siap campur bernilai kira-kira RM15.51 juta daripada China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCCM).

 

Ia adalah anak syarikat sepenuhnya China Communications Construction Co., Ltd. (CCCC), syarikat infrastruktur yang tersenarai dalam Fortune Global 500.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Meta Bright berkata kontrak itu melibatkan pembekalan pelbagai gred konkrit siap campur untuk Projek Terminal Bijih ESTEEL di Sabah, salah satu pembangunan infrastruktur industri utama di Malaysia Timur. 

 

Di bawah perjanjian tersebut, Jesselton Concrete Sdn. Bhd, unit milik penuh Expogaya Sdn Bhd yang dimiliki 70 peratus oleh Meta Bright dilantik sebagai pembekal utama projek. 

 

“Syarikat ini bertanggungjawab sepenuhnya terhadap logistik delivered duty paid (DDP), menanggung semua kos dan risiko penghantaran ke tapak projek, serta menyediakan perkhidmatan penghantaran sepanjang masa dan pada waktu malam jika diperlukan bagi memenuhi jadual pembinaan yang ketat,” katanya dalam makluman itu.

 

Kontrak tersebut turut menawarkan syarat komersial yang menguntungkan, termasuk pembayaran 100 peratus di awal untuk setiap pesanan dan mekanisme kestabilan harga selama enam bulan, sekali gus menyokong aliran tunai yang sihat dan melindungi margin keuntungan syarikat.

 

Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright Group Berhad, Derek Phang Kiew Lim berkata tempahan bekalan daripada kontraktor bertaraf CCCC adalah satu pengiktirafan terhadap kemampuan operasi syarikat itu di Sabah.

 

“Ia menunjukkan tahap kebolehpercayaan yang tinggi termasuk keutamaan bekalan, penghantaran sepanjang masa dan tiada toleransi terhadap gangguan bekalan. 

 

“Pemilihan Jesselton Concrete sebagai pembekal utama mencerminkan kekuatan rangkaian kilang campuran konkrit kami dan keupayaan melaksanakan projek mengikut jadual yang ketat. 

 

“Kontrak ini juga meningkatkan keterlihatan pesanan kami dalam sektor infrastruktur dan industri yang berkembang di Sabah, dan kami terus menumpukan kepada pelaksanaan disiplin untuk menukar permintaan infrastruktur di Malaysia Timur kepada pendapatan berulang yang mampan untuk pemegang saham,” katanya. - DagangNews.com