Meridian raih kontrak RM40.5 juta bina rumah penjawat awam di Kedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meridian raih kontrak RM40.5 juta bina rumah penjawat awam di Kedah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Sept – Meridian Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, MIB Construction Sdn. Bhd., mengumumkan telah menerima Surat Anugerah (LOA) daripada Kejora Harta Berhad bagi pelaksanaan kerja-kerja utama untuk projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Fasa 3 di Bandar Amanjaya, Kuala Muda, Kedah.

 

Kontrak bernilai RM40.5 juta itu merangkumi kerja-kerja pembinaan bangunan utama, perobohan struktur sedia ada, kerja cerucuk serta kerja-kerja luar dan infrastruktur berkaitan bagi projek yang melibatkan pembinaan 140 unit rumah teres dua tingkat.

 

Projek ini akan dibangunkan di atas tapak di Lot Asal 3831 (PT 25367) dan Lot Asal 3836 (PT 25370), melibatkan PT 73745 hingga PT 73884.

 

"Tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 24 bulan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Meridian menjangkakan kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada keuntungan bersih dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 dan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

 

Pihak syarikat turut menyatakan kontrak ini melibatkan risiko pelaksanaan seperti kekangan tenaga kerja mahir, turun naik harga bahan binaan serta keadaan politik dan ekonomi semasa.

 

Namun begitu, kumpulan yakin dapat mengurus dan mengurangkan risiko-risiko tersebut melalui perancangan rapi serta pengalaman luas dalam sektor pembinaan.

 

Kontrak ini merupakan sebahagian daripada aktiviti biasa perniagaan Meridian dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia.

 

Meridian turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak yang dianugerahkan ini. - DagangNews.com