KUALA LUMPUR 13 Okt -Perubahan transformasi yang dipacu oleh kepimpinan yang kukuh boleh menakrif semula dan memperkasa peranan kewangan Islam serta membentuk sistem kewangan yang lebih inklusif dan lestari, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, perubahan global yang pesat serta peningkatan harapan terhadap kewangan Islam telah mendorong seruan baharu agar industri ini merangka hala tuju yang berpandangan jauh ke hadapan.
Gabenor BNM itu menegaskan, transformasi bukanlah satu penyimpangan daripada asas kukuh yang telah membantu membangunkan industri kewangan Islam dengan jayanya.
“Sebaliknya, ia adalah satu imaginasi semula yang berani terhadap apa yang mungkin dicapai – satu cara untuk memperdalamkan tujuan kita dan mengukuhkan komitmen terhadap nilai-nilai yang mendefinisikan kita,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Santapan Diraja sempena Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025.
Abdul Rasheed berkata, dalam konteks memajukan kewangan Islam, ini bermaksud memperluas aplikasi struktur perkongsian risiko seperti Mudarabah dan Musharakah bagi menggalakkan penyertaan ekonomi yang inklusif serta menawarkan pilihan pulangan risiko yang lebih pelbagai.
“Kedua, meletakkan kewangan Islam sebagai pilihan utama untuk pembangunan ekonomi halal dan kewangan lestari.
“Akhir sekali, membuka potensi penuh wakaf dan zakat sebagai alat kewangan berimpak tinggi. Ini termasuk membangunkan rangka kerja pelaburan wakaf yang lebih jelas, memperkukuh tadbir urus dan ketelusan zakat, serta menilai hasil dengan lebih baik melalui Social Return on Investment (SROI),” jelasnya.
Abdul Rasheed menambah bahawa idea-idea ini mewakili peluang strategik untuk kewangan Islam merintis laluan ke arah kemakmuran yang lebih besar untuk generasi akan datang.
“Relevansi kewangan Islam pada masa depan akan bergantung kepada pilihan yang kita buat hari ini — pilihan yang memperkukuh kepimpinan kita, menginspirasikan inovasi dan menarik generasi bakat baharu untuk membawa kewangan Islam ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut memuji pelaksanaan Value-Based Intermediation (VBI) di Malaysia — satu aplikasi bersepadu bagi kewangan sosial serta rangka kerja sukuk hijau dan lestari — yang menunjukkan bahawa kewangan Islam mampu mempromosikan inklusiviti, kelestarian dan integriti.
“Di peringkat global, kita digalakkan oleh peningkatan penjajaran antara pengawal selia, organisasi antarabangsa dan pihak sektor swasta yang berkongsi aspirasi yang sama.
“Kesepaduan ini memberikan peluang yang tepat pada masanya untuk memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan memperluas impak, memastikan kewangan Islam memainkan peranan utama dalam membentuk sistem kewangan global yang lebih berdaya tahan dan berasaskan nilai,” katanya.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, turut berangkat ke Majlis Santapan Diraja GIFF 2025 yang diadakan di Hotel Four Seasons malam ini, di mana baginda menyampaikan titah diraja bertemakan “Merentasi Tradisi dan Masa Depan: Memajukan Perniagaan, Memperkasa Komuniti.”
Turut hadir ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. – Bernama








