Melindungi mangsa jenayah siber, menjamin sabitan kes: Keperluan pengekalan dan pemeliharaan data - Dr Haezreena | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Melindungi mangsa jenayah siber, menjamin sabitan kes: Keperluan pengekalan dan pemeliharaan data - Dr Haezreena

Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Penyimpanan serta pemeliharaan data komunikasi seperti rekod panggilan, alamat IP dan geolokasi adalah keperluan penting bagi membantu pihak berkuasa menangani jenayah serius termasuk penipuan siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan.

 

Pakar Kriminologi, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, akses pantas kepada metadata mampu mempercepatkan pengecaman suspek, memutuskan rangkaian jenayah, serta melindungi mangsa.

 

“Dari sudut undang-undang, ia memastikan bukti diperoleh secara sah, dipelihara dengan baik dan boleh diterima di mahkamah. Dari sudut kriminologi pula, ia membolehkan tindakan segera sebelum bukti hilang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

sebenarnya

 

 

Dr. Haezreena yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya berkata cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan kerangka standard penyimpanan dan pemeliharaan data adalah langkah tepat dalam era digital.

 

Beliau menjelaskan, ketiadaan kerangka seragam boleh mengundang risiko besar kepada keselamatan awam kerana ada penyedia perkhidmatan yang mungkin memadamkan data penting sebelum pihak berkuasa sempat mendapat akses sah.

 

“Ini bukan sahaja mewujudkan jurang keterangan dan menjejaskan pendakwaan, malah memberi peluang kepada penjenayah mengeksploitasi kelemahan tersebut sebagai ‘safe haven’,” tegasnya.

 

Katanya lagi, pengalaman antarabangsa membuktikan keberkesanan sistem seumpama ini. Contohnya, Australia mewajibkan penyimpanan metadata selama dua tahun di bawah Akta Pindaan Penyadapan Telekomunikasi dan Akses (Penyimpanan Data) 2015, yang dilaporkan amat penting bagi menyelesaikan kes jenayah siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan.

 

Namun, Dr. Haezreena mengakui terdapat kebimbangan mengenai privasi. Justeru, beliau menekankan kepentingan perlindungan seperti akses yang diberi kuasa, pengawasan kehakiman, serta had masa penyimpanan yang munasabah.

 

“Adalah penting untuk menjelaskan kepada masyarakat bahawa metadata berbeza dengan kandungan komunikasi. Kerangka ini hanya melibatkan data asas bagi tujuan siasatan jenayah serius, bukan pencerobohan privasi secara meluas,” jelasnya.

 

Beliau menambah, kerangka penyimpanan data yang baik perlu mengandungi prosedur piawai, mekanisme permintaan yang cepat, perlindungan undang-undang yang jelas, serta pengawasan bebas bagi mengelakkan salah guna.

 

“Rundingan awam yang dijalankan MCMC perlu disertai masyarakat, pertubuhan sivil, aktivis privasi serta sektor teknologi supaya kerangka yang digubal mengambil kira pandangan semua pihak dan membina keyakinan awam,” katanya.

 

Dr. Haezreena menegaskan bahawa pemeliharaan data adalah alat penting bagi penguatkuasaan undang-undang moden, tetapi ia mesti dilaksanakan secara berkadar, telus dan menghormati hak asasi manusia. - DagangNews.com