Mega Fortris batal kilang di Macau, fokus perluas kapasiti di Shah Alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mega Fortris batal kilang di Macau, fokus perluas kapasiti di Shah Alam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Jan – Mega Fortris Bhd  membatalkan rancangan menubuhkan kilang kad permainan baharu di Macau, sebaliknya akan menambah kapasiti di kilang sedia ada di Shah Alam dengan menubuhkan barisan pembuatan kedua bagi menjimatkan kos.

 

Mega Fortris berkata keputusan itu juga akan mengubah penggunaan sebahagian hasil kasar yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah RM99.07 juta, susulan penilaian semula strategi perniagaan baharu Kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu melalui penasihat utamanya, RHB Investment Bank Berhad memaklumkan kira-kira RM49.13 juta daripada hasil IPO telah digunakan setakat 31 Disember 2025, manakala baki RM49.94 juta masih belum digunakan.

 

“RM45 juta yang sebelum ini diperuntukkan bagi kilang Macau akan digunakan bagi barisan pembuatan baharu di Shah Alam, pembinaan gudang bekalan dan pengendalian di Macau, serta membiayai modal kerja operasi perniagaan percetakan kad syarikat,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Sebarang lebihan atau kekurangan kos akan dibiayai melalui dana dalaman atau pinjaman bank.

 

Cadangan itu melibatkan kira-kira 45.4 peratus daripada jumlah hasil IPO dan  diklasifikasikan sebagai perubahan material di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia. 

 

Justeru, kelulusan pemegang saham akan dimohon pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan kelak.

 

Barisan pembuatan baharu dijangka meningkatkan kapasiti percetakan kad daripada 19 juta set kad setahun kepada 44 juta set kad setahun. 

 

Pemasangan barisan ini dijangka siap menjelang akhir suku ketiga 2026, dengan operasi bermula pada suku keempat 2026. 

 

Mega Fortris berkata gudang di Macau dijangka memulakan operasi pada suku kedua 2027.

 

Selain menghasilkan kad untuk kasino, pengedar dan pembekal permainan, Mega Fortris juga merancang untuk menghasilkan kad koleksi seperti kad sukan, hiburan dan kad perniagaan.

 

Barisan pembuatan syarikat menggunakan mesin automatik khusus yang mampu mencetak, memotong,  memeriksa dan membungkus pelbagai jenis kad.

 

Syarikat memilih memperluas kilang sedia ada selepas menghadapi kesukaran mendapatkan ruang industri yang sesuai di Macau dan kos sewaan yang tinggi. 

 

Dengan menumpukan operasi di Malaysia, Mega Fortris menjangkakan dapat menjimatkan kira-kira RM11.2 juta daripada perbelanjaan modal.

 

Daripada hasil IPO, RM37.42 juta akan digunakan membiayai perniagaan percetakan kad, termasuk penubuhan pusat di Macau, manakala RM7.58 juta lagi akan digunakan untuk memenuhi keperluan modal kerja, termasuk pembayaran gaji kakitangan.

 

Susulan keputusan ini, Mega Fortris berkata memorandum persefahaman dengan VS International Group Limited sebagai subkontraktor di Macau telah ditamatkan tanpa sebarang tuntutan. - DagangNews.com