KUALA LUMPUR 8 Julai - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) hari ini mengumumkan dua geran baharu berjumlah RM2.9 juta bertujuan mempercepatkan transformasi digital dalam dua sektor strategik negara iaitu kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan.
Geran tersebut terbuka khusus kepada syarikat yang mempunyai status Malaysia Digital (MD) atau MSC Malaysia, termasuk syarikat yang sedang dalam proses permohonan status MD semasa menghantar permohonan.
Dua geran berkenaan adalah Geran Pemecut Malaysia Digital Kecerdasan Buatan (MDAG-AI) dan Program Insentif SmartMFG+, yang diperkenalkan khas untuk menyokong syarikat tempatan berpotensi tinggi melalui pemerkasaan inovasi, pembangunan penyelesaian digital bersedia eksport dan pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, pelancaran kedua-dua geran tersebut adalah tepat pada masanya serta bersifat strategik dalam mengukuhkan agenda transformasi digital negara.
“MDAG-AI membentuk asas kukuh bagi Malaysia untuk muncul sebagai hab utama inovasi AI, manakala SmartMFG+ membuka laluan ke arah pendigitalan meluas dalam industri pembuatan.
"Secara keseluruhan, inisiatif ini menjadi pemacu berkembar dalam menjayakan aspirasi digital negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anuar Fariz Fadzil
Tambahnya, inisiatif itu adalah kesinambungan program terdahulu dengan memberi fokus kepada pengkomersialan produk AI, aplikasi merentas sektor, pembangunan bakat dan pemindahan pengetahuan.
"Ia selaras dengan Pelan Hala Tuju Nasional AI yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar AI serantau.
"Syarikat yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga 70% daripada jumlah kos projek dengan had maksimum sebanyak RM2 juta untuk projek yang berlangsung sehingga satu tahun," katanya.
Permohonan kini dibuka sehingga 18 Julai 2025 dan pemohon yang berjaya akan diumumkan semasa Ekspo Digital Malaysia (MDX) pada September 2025.
Maklumat lanjut berkenaan kriteria kelayakan, prosedur permohonan dan panduan penghantaran boleh didapati di: [http://mdec.my/grants/mdag-ai](http://mdec.my/grants/mdag-ai) - DagangNews.com








