MCMC memulakan Siasatan Awam mengenai penentuan piawaian wajib daftar pengguna prabayar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC memulakan Siasatan Awam mengenai penentuan piawaian wajib daftar pengguna prabayar

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Okt - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan Siasatan Awam berhubung cadangan penentuan piawaian wajib bagi pendaftaran pengguna perkhidmatan selular awam prabayar, sebagai langkah memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam proses kawal selia industri telekomunikasi.

 

Menurut MCMC, siasatan awam ini dijalankan mengikut Seksyen 55 dan 61 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA 1998) bagi memastikan proses penggubalan piawaian tersebut dilaksanakan secara telus, inklusif dan bertanggungjawab.

 

Langkah ini turut membuka ruang kepada semua pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan dan maklum balas terhadap piawaian yang dicadangkan, bagi membantu MCMC menilai keberkesanan dan kesan pelaksanaannya sebelum dimuktamadkan.

 

Piawaian wajib yang dicadangkan ini akan menggantikan Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Perkhidmatan Selular Awam Prabayar 2017, dan bertujuan memperkukuh integriti proses pendaftaran serta meningkatkan langkah keselamatan melalui platform automatik yang dilengkapi Pengesahan Berbilang Faktor (MFA).

 

Selain itu, piawaian baharu ini turut memperluas kuasa MCMC untuk mengeluarkan arahan dan mengambil tindakan penguatkuasaan bukan sahaja terhadap penyedia perkhidmatan, tetapi juga ejen dan pengedar (dealers) yang terlibat dalam proses pendaftaran pengguna prabayar.


 

MCMC

 


“Pendekatan ini memastikan akauntabiliti menyeluruh dalam rantaian pendaftaran, termasuk ejen dan pengedar yang tertakluk di bawah Seksyen 51 Akta CMA 1998, sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan yang boleh menjejaskan perlindungan pengguna,” jelas MCMC.

 

Cadangan piawaian itu juga memperkenalkan perlindungan lebih ketat terhadap pengguna bawah umur, di mana individu berusia antara 12 hingga 17 tahun perlu didaftarkan oleh ibu bapa atau penjaga sah.

 

Selain itu, had baharu ke atas bilangan kad SIM yang boleh didaftarkan oleh seseorang individu — sama ada warga Malaysia atau bukan warganegara — turut dicadangkan bagi membendung penyalahgunaan kad SIM yang kian berleluasa.

 

MCMC menyeru semua pihak industri dan orang awam untuk menyertai proses siasatan awam ini, bagi memastikan piawaian yang akan dilaksanakan nanti bersifat menyeluruh, praktikal dan selaras dengan keperluan semasa industri telekomunikasi.

Maklum balas boleh dikemukakan melalui pautan rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my mulai sekarang hingga 28 November 2025. - DagangNews.com