KUALA LUMPUR 21 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemukakan Tuntutan Statutori terhadap TikTok susulan kegagalan media sosial berkenaan menangani kandungan berunsur jelik, palsu dan mengancam yang menyasarkan Institusi Diraja Malaysia.
MCMC berkata tindakan itu diambil selepas berlaku penularan kandungan yang dikaitkan dengan satu akaun yang didakwa menyerupai atau berkaitan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut kenyataan itu, kandungan berkenaan mengandungi unsur kenyataan palsu, jelik melampau serta bersifat mengancam dan menghina institusi diraja negara.
“Terdapat kandungan video yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta imej yang telah dimanipulasi yang meningkatkan risiko penyebaran maklumat palsu secara meluas.
“Kandungan terbabit didapati berpotensi melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) serta undang-undang jenayah lain yang berkuat kuasa di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
MCMC menegaskan bahawa isu berkaitan Institusi Diraja termasuk dalam kategori sensitif 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian negara.
Sehubungan itu, MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian yang digunakan untuk menyebarkan kandungan berunsur ancaman, fitnah atau yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.
Walaupun beberapa libat urus dan makluman telah diberikan sebelum ini, MCMC mendapati respons TikTok dalam menangani kandungan tersebut adalah tidak memuaskan.
Kelewatan dalam menurunkan kandungan serta kegagalan menghalang penyebaran lanjut kandungan berbahaya itu turut menjadi faktor utama tindakan statutori tersebut dikeluarkan.
Menerusi Tuntutan Statutori itu, TikTok diarahkan untuk melaksanakan langkah pembetulan segera termasuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan di platform mereka.
Selain itu, TikTok turut diminta memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan mereka menangani kandungan yang melanggar undang-undang dan garis panduan komuniti platform.
MCMC menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk tindakan undang-undang sekiranya perlu, bagi memastikan platform digital mematuhi peraturan di Malaysia serta mengekalkan persekitaran dalam talian yang selamat dan berhemah. - DagangNews.com








