KUALA LUMPUR 12 Jun – MBSB Research mengambil pendekatan unik dengan mengadaptasi formasi bola sepak sebagai strategi pelaburan bagi separuh kedua tahun kalendar 2026 (2HCY26), dengan memilih formasi 4-4-2 sebagai susunan portfolio paling sesuai dalam persekitaran pasaran yang masih dibayangi risiko geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun sejarah menunjukkan pasaran saham lebih kerap mencatat prestasi positif sepanjang tempoh Piala Dunia, faktor ekonomi dan geopolitik kekal menjadi pemacu utama sentimen pelabur.
Menurut kajiannya, daripada 12 edisi Piala Dunia yang dianalisis, tujuh daripadanya menyaksikan prestasi pasaran yang positif sepanjang kejohanan berlangsung.
Bagaimanapun, MBSB Research menegaskan bahawa prestasi tersebut tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.
“Prestasi pasaran sepanjang tempoh Piala Dunia lebih banyak dipengaruhi oleh tema ekonomi dan sentimen pelaburan semasa.
“Sebagai contoh, kenaikan 18.4% pada 1986 didorong jangkaan pemulihan ekonomi, manakala kejatuhan 12.5% pada 1998 berpunca daripada Krisis Kewangan Asia,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma itu berkata, pasaran global kini berdepan risiko yang lebih mencabar susulan konflik berterusan di Timur Tengah, khususnya melibatkan Iran dan Amerika Syarikat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global.
Menurutnya, penutupan semula Selat Hormuz oleh Iran boleh meningkatkan risiko gangguan bekalan tenaga global dan mendorong tekanan inflasi yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini.
“Risiko utama ialah konflik berpotensi berkembang kepada senario yang lebih buruk dengan harga minyak mentah kekal tinggi antara AS$100 hingga AS$120 setong dalam tempoh berpanjangan.
“Keadaan itu boleh mewujudkan persekitaran stagflasi global yang dicirikan oleh inflasi tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan,” katanya.
Formasi 4-4-2
MBSB Research bagaimanapun menjangkakan inflasi Malaysia kekal terkawal disokong oleh mekanisme subsidi sedia ada, sekali gus membolehkan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%.
Dalam persekitaran tersebut, firma itu memilih formasi 4-4-2 yang mengimbangi ciri defensif dan pertumbuhan sebagai strategi utama pelaburan untuk 2HCY26.
Bagi barisan pertahanan, saham utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd dan YTL Power International Bhd dipilih kerana menawarkan kestabilan pendapatan, sokongan dividen dan risiko turun naik yang lebih rendah.
Turut mengisi bahagian pertahanan ialah 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd yang dilihat mampu mendapat manfaat daripada permintaan berterusan terhadap barangan keperluan harian, manakala CelcomDigi Bhd bertindak sebagai pemain hibrid yang boleh beralih daripada pertahanan ke bahagian tengah sekiranya sentimen pasaran bertambah baik.
Di bahagian tengah, MBSB Research memilih CIMB Group Holdings Bhd, Hong Leong Bank Bhd, MR D.I.Y. Group (M) Bhd dan MISC Bhd sebagai gabungan saham yang menawarkan keseimbangan antara pendapatan stabil, dividen dan potensi pertumbuhan.
Bagi bahagian serangan pula, Gamuda Bhd dan Inari Amertron Bhd dipilih sebagai pemacu pertumbuhan portfolio menerusi pendedahan kepada sektor pembinaan, infrastruktur dan teknologi.
Firma itu turut menyenaraikan beberapa saham sebagai pemain simpanan termasuk Petronas Chemicals Group Bhd, Sunway Construction Group Bhd, SD Guthrie Bhd, Zetrix AI Bhd dan Petronas Gas Bhd yang boleh dimasukkan ke dalam portfolio bergantung kepada perubahan keadaan makroekonomi.
Menurut MBSB Research, sekiranya risiko global berkurangan dan selera pelabur terhadap aset berisiko kembali pulih, portfolio boleh beralih kepada formasi 3-5-2 dengan meningkatkan pendedahan kepada saham kitaran seperti Petronas Chemicals.
“Buat masa ini, disiplin pelaburan masih diperlukan kerana risiko pertumbuhan global yang perlahan dan ketidaktentuan dasar monetari Amerika Syarikat masih membayangi pasaran.
“Namun, kami kekal bersedia untuk menukar strategi apabila keadaan pasaran menunjukkan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendedahan kepada sektor pertumbuhan,” katanya. - DagangNews.com








