Maybank, PUJB bekerjasama perkasa PMKS Johor, industri halal JS-SEZ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank, PUJB bekerjasama perkasa PMKS Johor, industri halal JS-SEZ

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 April — Kumpulan Maybank dan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) membentuk kerjasama strategik memperkasakan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negeri itu, khususnya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).


Kedua-dua pihak turut berhasrat merapatkan jurang dengan menawarkan rumusan perbankan dan di luar perbankan yang disesuaikan, termasuk perkhidmatan Fasilitasi Halal, pembiayaan rantaian bekalan, program pembangunan kapasiti, serta khidmat nasihat strategik.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, kerjasama itu menekankan komitmen dalam menyokong usahawan selain mengeratkan usahasama dengan PUJB dan Kerajaan Johor bagi memperkukuhkan ekosistem usahawan PMKS tempatan.


"Langkah ini selaras fokus utama zon ini memastikan perniagaan setempat meraih manfaat besar pelaburan baharu dan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersempena Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ.
 

Beliau menambah, sebagai bank terkemuka ASEAN dengan rangkaian cawangan terbesar di Johor dan kemunculan perbankan selama 65 tahun di Singapura, kerjasama itu memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memajukan pertumbuhan perniagaan dan pelaburan dalam JS-SEZ.


Ia katanya, dijangka melibatkan lebih 60,000 usahawan PMKS yang berada dalam ekosistem PUJB dan dengan fokus JS-SEZ sendiri terhadap industri halal, kerjasama itu menyumbang kepada pembangunan zon khusus tersebut sebagai hab halal serantau dan global pilihan.


"Pengalaman luas Maybank dalam perbankan Islam secara global meletakkan kami di kedudukan strategik bukan sahaja menyediakan rumusan pembiayaan patuh Syariah, malah memberi akses kepada ekosistem dan pasaran halal untuk perniagaan setempat,” kata Khairussaleh.


Sejak September 2023 jelasnya, bank itu membimbing 360 usahawan PMKS menerima pensijilan halal melalui Program Fasilitasi Halal serta kini diperluaskan kepada pelabur asing dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal dan kosmetik yang ingin memasuki pasaran Halal.


Melihat kepada latar belakang industri halal yang berkembang di Malaysia, kerjasama dengan PUJB itu kata beliau, amat bertepatan dalam konteks peningkatan penggabungan ekonomi serantau dan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk dan perkhidmatan halal.


"Maybank komited melaksanakan teras strategik M25+, iaitu antara matlamatnya adalah untuk memperkukuhkan kepimpinan perbankan Islam global melalui pelbagai pemacu perniagaan, di samping berperanan utama dalam sektor halal dinamik di Malaysia," kata beliau. - DagangNews.com