Maybank muncul bank pertama salurkan pinjaman kelestarian AS$150 juta kepada syarikat multinasional semikonduktor di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank muncul bank pertama salurkan pinjaman kelestarian AS$150 juta kepada syarikat multinasional semikonduktor di Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai – Malayan Banking Bhd (Maybank) menjadi bank komersial pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menyalurkan pinjaman berkaitan kelestarian (SLL) bernilai AS$150 juta kepada Austria Technologie & Systemtechnik Malaysia (AT&S Malaysia).

 

Pinjaman tersebut merupakan kemudahan pertama seumpamanya daripada bank tempatan kepada syarikat multinasional dalam industri semikonduktor Malaysia bertujuan memperkukuh pembiayaan hijau dalam sektor semikonduktor negara.

 

Menurut kenyataan bersama Maybank dan AT&S, transaksi itu melengkapkan pembiayaan selari yang diatur International Finance Corporation (IFC) di bawah perjanjian sama, susulan pinjaman AS$250 juta yang diberikan oleh IFC kepada AT&S Malaysia pada Mac lalu.

 

“Dana berkenaan akan digunakan bagi menyokong pembangunan kilang substrat litar bersepadu (IC substrate) berteknologi tinggi pertama AT&S di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah.

 

“Ia dilengkapi peralatan canggih serta sistem kitar semula tertutup selaras dengan rangka kerja tenaga mampan syarikat.

 

“Kilang itu bakal menghasilkan substrat IC canggih yang penting untuk memenuhi permintaan global terhadap pemproses data berprestasi tinggi, pusat data dan infrastruktur kecerdasan buatan (AI),” menurut kenyataan itu.

 

Dengan komitmen pelaburan melebihi AS$1 bilion, ia merupakan pelaburan permulaan terbesar oleh Kumpulan AT&S di Malaysia.

 

Sasaran yang ditetapkan di bawah SLL tersebut termasuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau tahunan sebanyak 31 peratus menjelang 31 Mac 2028, berasaskan tahun kewangan 2022 sebagai penanda aras.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Kumpulan Maybank, Datuk John Chong berkata, pembiayaan tersebut sejajar dengan tumpuan strategik bank terhadap pembangunan ekosistem semikonduktor di Asia Tenggara.

 

Katanya, struktur SLL itu turut mencerminkan komitmen Maybank untuk menggerakkan pembiayaan mampan dan mempercepatkan peralihan hijau di rantau ini.

 

“Transaksi ini juga mengukuhkan kerjasama berterusan kami dengan IFC,” katanya.

 

Sejak 2021 hingga suku pertama 2025, Maybank telah menggerakkan pembiayaan mampan berjumlah RM125.46 bilion di seluruh ASEAN, sekali gus melepasi sasarannya sebanyak RM80 bilion lebih awal daripada jadual.- DagangNews.com