Maybank IB saran ‘beli’ Petra Energy, ‘jual’ Kobay berikutan sentimen pasaran global masih tertekan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB saran ‘beli’ Petra Energy, ‘jual’ Kobay berikutan sentimen pasaran global masih tertekan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 MacMaybank Investment Bank menyarankan pelabur agar mengumpul saham Petra Energy Berhad dan mengurangkan pegangan mereka dalam Kobay Technology Berhad pada waktu ini.


Menurut firma penyelidikan itu, syor tersebut berdasarkan analisis teknikal semasa, pada ketika sentimen pasaran global terus tertekan akibat ketegangan geopolitik dan kelemahan saham teknologi sendiri.


Dalam notanya hari ini, ia menilai perkembangan pasaran global terutamanya konflik geopolitik di Timur Tengah antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dikhuatiri memberi kesan negatif kepada pasaran.


"Ketidaktentuan di rantau itu sejak 28 Februari 2026 mendorong kenaikan harga minyak mentah, dan meningkatkan kebimbangan inflasi serta memberi tekanan kepada sentimen pelabur," kata Maybank IB.


Pada masa sama jelas firma berkenaan, kelemahan secara berterusan saham teknologi utama turut menjejaskan prestasi indeks global seperti S&P 500 baru-baru ini yang turut mencatat penurunan.


Indeks berkenaan tambahnya, jatuh di bawah saluran aliran menurun serta melepasi paras sokongan utama pada 6,715 mata, dan ditutup 1.6% lebih rendah minggu ke minggu iaitu pada 6,632.10 mata.


Pelabur ketika ini kata Maybank IB, memberi tumpuan kepada perkembangan konflik di Timur Tengah serta mesyuarat jawatankuasa Rizab Persekutuan AS yang dijangka mengekalkan kadar faedah semasa.


“Dari sudut teknikal, penembusan paras sokongan ini berpotensi menandakan permulaan aliran turun lebih luas, terutama apabila ia mengesahkan pembentukan perbezaan menurun sebelum ini,” katanya.

 

bursa


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut meletakkan paras rintangan indeks S&P 500 di pasaran AS pada 7,000 mata dan 7,200 mata, manakala paras sokongan pada 6,530 mata dan 6,200 mata.


Dalam perkembangan berkaitan pasaran Malaysia, Maybank IB mengesyorkan pelabur mengumpul saham Petra Energy berdasarkan petunjuk teknikal yang memberikan gambaran potensi kenaikan harga.


Menurutnya, saham syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu mencatat penembusan kenaikan yang kukuh dan menguji purata pergerakan mudah (SMA) 200 hari yang merupakan paras rintangan penting.


“Selepas penembusan itu, harga saham syarikat ini mengalami pembetulan singkat namun berjaya melantun daripada paras rintangan lama yang kini menjadi sokongan sekitar 68 sen," jelasnya lagi.


Justeru kata Maybank IB, dengan momentum terlebih beli yang sudah semakin reda, pemulihan harga berpotensi akan berterusan dan menolak saham kumpulan tersebut melepasi paras SMA selama 200 hari.


Sebaliknya, firma penyelidikan berkenaan menyarankan pelabur agar mengurangkan pegangan dalam Kobay Technology kerana saham tersebut dinilai sebagai masih lagi menunjukkan aliran penurunan.


Menurutnya, pemulihan harga saham kumpulan rumusan teknologi tersebut daripada paras 61.8% 'Fibonacci retracement' setakat ini masih lemah dan belum mencetuskan pembalikan arah yang kukuh.


"Sehubungan itu, kami berpandangan penyatuan semasa berpotensi membentuk struktur ‘lower-high’ atau corak tinggi terendah yang baharu dalam aliran menurun sedia ada," tambah Maybank IB.


Selain itu, petunjuk indeks kekuatan relatif (RSI) katanya, juga belum memasuki zon terlebih jual, menandakan risiko kitaran penurunan baharu ke atas saham Kobay sebenarnya masih wujud.


Paras sokongan penting seterusnya bagi saham ini adalah sekitar RM1.40, dan jika paras itu ditembusi, ia boleh mencetuskan kesinambungan tekanan penurunan harga saham. - DagangNews.com