Maybank IB potong unjuran KDNK 2025 kepada 4.1% akibat ketidaktentuan tarif AS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB potong unjuran KDNK 2025 kepada 4.1% akibat ketidaktentuan tarif AS

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Mei — Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan unjuran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025 kepada 4.1 peratus berbanding 4.3 peratus sebelum ini akibat ketidaktentuan dalam isu tarif Amerika Syarikat (AS).


Firma penyelidikan tersebut berkata, semakan berkenaan juga berikutan pertumbuhan pada suku pertama 2025 yang di bawah anggarannya ditambah dengan jangkaan penurunan selanjutnya pada tempoh suku kedua 2025 susulan kesan ke atas sektor pembuatan dan eksport menjelang tarikh akhir tarif.


Ia merujuk keadaan pertumbuhan KDNK pada 2024 yang mencatatkan 5.1 peratus serta situasi semasa pada suku pertama 2025 apabila KDNK adalah 4.4 peratus tahun ke tahun (YoY) sebelum berlaku pengumuman pelaksanaan tarif timbal balik baharu oleh pentadbiran AS pada 2 April 2025. 


"Kelemahan ini dijangka dapat dikurangkan menerusi perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan sebagai langkah untuk meningkatkan pendapatan pengguna serta pertumbuhan bidang pelancongan serta pelaburan secara berterusan," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.


Selain itu, ia merujuk pelbagai langkah untuk menyokong sektor eksport Malaysia sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Mei 2025 serta potensi perjanjian dengan AS daripada beberapa rundingan berterusan ketika ini.


Firma penyelidikan tersebut juga mengambil petunjuk daripada beberapa berita positif antaranya ialah pengecualian tarif ke atas produk semikonduktor dan elektronik selain AS memberi tumpuan untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan 20 negara termasuk Malaysia.


Selain itu, Maybank IB menilai perkembangan positif berikutan pengumuman perjanjian dengan United Kingdom dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), penurunan dalam perang tarif AS-China serta pembatalan Peraturan Penyebaran Kecerdasan Buatan (AI) di AS. - DagangNews.com