KUALA LUMPUR 28 April — Hasil Astro Malaysia Holdings Berhad dijangka susut lebih 10 peratus berikutan tuntutan pendapatan bercukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kumpulan itu masih lagi boleh menuntut kos pengeluarannya terhadap pendapatan bercukai tetapi ia diunjurkan hanya boleh diselesaikan dalam tempoh yang lebih lama.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut berkata, pertumbuhan pendapatan masa depan Astro diramalkan adalah kekal mencabar disebabkan kemelut kes percukaian yang dituntut oleh agensi berkenaan sejak 9 Ogos 2024.
"Kumpulan ini mungkin mengalami kesan aliran tunai yang negatif dalam jangka pendek tetapi bersifat neutral dalam tempoh panjang dengan tiada kesan pendapatan," kata Maybank IB dalam satu nota kajiannya.
Dengan risiko penurunan masih ada, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "jual" kerana masih percaya prospek pendapatan syarikat adalah mencabar namun menaikkan sasaran harga sesaham kepada 12 sen berbanding 11 sen sebelum ini.
Maybank IB berkata, Astro berharap mengecilkan pasaran televisyen berbayar bersih kepada sifar tahun ini tetapi ia percaya, pengguna mengambil kira faktor tarif elektrik lebih tinggi dan rasionalisasi subsidi RON95 pada separuh kedua 2025.
Selain itu katanya, kumpulan tersebut pada 2024 bergelut dengan isu taksiran cukai tambahan sebanyak RM734.9 juta disebabkan masalah kos pengeluaran yang tidak dibenarkan sebelum berjaya diselesaikan pada 24 April 2025.
"Kos pengeluaran yang ditanggung boleh dituntut tetapi melebihi enam tahun berbanding tiga tahun sebelumnya dan situasi itu membolehkan Astro membayar kurang cukai dalam baki tiga tahun berikutnya, jelas Maybank IB.
Selaras penyelesaian itu, Astro hanya membayar LHDN sebanyak RM115 juta namun tidak perlu mengecaj jumlah ini dalam penyata pendapatannya kerana cukai masa depan dilunaskan yang akan dikurangkan dengan jumlah sama.
Pada asasnya, kumpulan itu kata Maybank IB, sedang membawa ke depan pembayaran perbelanjaan cukai masa hadapan yang perlu dijelaskan dalam tempoh 18 bulan akan datang dan mungkin mempertimbangkan. pembayaran dividen. - DagangNews.com








