KUALA LUMPUR 6 Okt – Maxis Bhd dijangka meraih penjimatan kos operasi dan perbelanjaan modal (Capex) susulan daripada penerimaan tawaran penugasan spektrum 2×10MHz dalam jalur 2100MHz daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kenanga Research berkata, penjimatan itu diperolehi daripada pengurangan keperluan sewaan menara telekomunikasi dan pelaburan yang lebih rendah dalam peralatan rangkaian 4G.
"Lebih penting, spektrum baharu ini adalah bersebelahan (contiguous) dengan pegangan sedia ada Maxis dalam jalur 2.1GHz, membolehkan kecekapan spektrum yang lebih tinggi serta prestasi rangkaian yang lebih optimum," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Maxis sebelum ini dalam makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu telah menerima tawaran daripada MCMC untuk penugasan spektrum 2×10MHz dalam jalur 2100MHz, melibatkan bayaran pendahuluan sebanyak RM100 juta, serta bayaran tahunan berjumlah RM300 juta sepanjang tempoh penugasan.
Kenanga Research menyifatkan perkembangan ini sebagai neutral, memandangkan ia selari dengan jangkaan pasaran bahawa Maxis akan mengambil alih spektrum yang dikembalikan oleh Celcom Digi Bhd (CDB) selepas penggabungan Celcom-Digi pada November 2022.
Sebagai rekod, CDB bersetuju untuk memulangkan sejumlah 70MHz spektrum kepada MCMC bagi menangani isu kepekatan spektrum. Perincian spektrum yang dipulangkan adalah seperti berikut, 1.8GHz: 10MHz, 2.1GHz: 20MHz (telah diserah pada November 2024) dan 2.6GHz: 40MHz (dijadual dipulangkan selewat-lewatnya 29 November 2025).
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan anggaran tempoh penugasan selama 12 tahun, jumlah bayaran tahunan sebanyak RM300 juta bersamaan kira-kira RM25 juta setahun, iaitu peningkatan sekitar 10% berbanding bayaran lesen spektrum Maxis bagi tahun kewangan 2024.
"Kami menjangkakan Maxis akan mengekalkan panduan perbelanjaan modal (capex) untuk 2025 sekitar RM1 bilion, menunjukkan bahawa bayaran pendahuluan RM100 juta itu berada dalam kemampuan bajet syarikat," katanya.
Kenanga Research juga mengekalkan unjuran pendapatan dan keuntungan Maxis buat masa ini, serta mengekalkan harga sasaran (TP) saham pada RM3.56, berdasarkan penilaian 8.0 kali EV/EBITDA FY2025F.
Tiada pelarasan dibuat terhadap penilaian ESG Maxis yang kekal pada 3 bintang, berdasarkan penilaian dalaman firma. - DagangNews.com








