KUALA LUMPUR 4 Ogos — Masalah kerenah birokrasi daripada pelbagai pihak berkuasa yang berkaitan dikenal pasti sebagai risiko utama perlu dihindari Inari Amertron Berhad, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, isu berkenaan menjadi cabaran besar kepada kumpulan itu dalam mengukuhkan model perniagaan tertutup syarikat dan mengembangkan lagi portfolio produk sedia ada.
Situasi itu dibimbangi boleh memberi kesan kepada momentum pertumbuhannya, setelah bersama-sama Sanan Optoelectronics Co Ltd dari China mengambil alih pegangan Lumileds Holding BV minggu lalu.
"Selain itu, Inari Amertron perlu berwaspada terhadap isu perubahan dinamik pasaran global terutama produk diod pemancar cahaya (LED) yang tidak menentu," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya.
Ia merujuk kejayaan kumpulan itu dan Sanan yang memperoleh keseluruhan kepentingan dalam Lumileds dari Belanda dan anak-anak syarikatnya pada nilai perusahaan berjumlah AS$239 juta (RM1.03 bilion).
Kedua-dua pihak juga akan bersama-sama menyuntik modal kerja tambahan sebanyak AS$41 juta (RM173.9 juta), yang menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan itu bernilai AS$280 juta (RM1.187 bilion).
Mengulas lanjut, RHB Research menyifatkan langkah Inari Amertron membolehkan kumpulan tersebut dapat mempelbagaikan aliran pendapatannya dan meningkatkan pulang ekuiti secara lebih strategik.
"Bagaimanapun kami masih bersikap berkecuali terhadap perkembangan ini dalam jangka masa pendek, tetapi tetap positif dalam jangka sederhana kerana situasi mungkin boleh berubah baik," katanya.
Justeru, firma berkenaan menjangkakan sekiranya tiada masalah besar berlaku, syarikat itu dapat meningkatkan pendedahannya kepada bidang pertumbuhan utama dan meningkatkan integrasi menegak.
Inari Amertron kata firma itu, mampu mengembangkan keupayaan pembuatan dan membantu Lumileds yang pernah mencatatkan kerugian bersih AS$17 juta (RM92.1 juta) bagi suku pertama pada 31 Mac 2025.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, RHB Research masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas kumpulan tersebut dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM2.45 sesaham. - DagangNews.com







