KUALA LUMPUR 10 Julai – Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menggesa kerajaan segera memulakan rundingan tarif secara sektoral dengan Amerika Syarikat susulan pengumuman peningkatan duti import kepada 25% yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos depan.
Presiden MARGMA, Oon Kim Hung berkata, pihaknya sedia bekerjasama untuk mendapatkan pengecualian tarif atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar semasa 10% ke atas sarung tangan getah.
“Sarung tangan bukan barangan mewah namun ia adalah produk yang penting dalam sektor perubatan penting. Kadar tarif 25% akan menjejaskan rantaian bekalan, meningkatkan kos penjagaan kesihatan dan menimbulkan risiko kepada keselamatan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ini Malaysia membekalkan hampir separuh daripada keperluan pasaran Amerika Syarikat bagi sarung tangan getah asli dan nitril yang mematuhi piawaian ketat Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), permintaan AS dijangka mencecah AS$4.17 bilion menjelang tahun 2030.
Oleh itu, sebarang peningkatan tarif berisiko menjejaskan penjagaan pesakit serta menaikkan kos hospital dan penyedia penjagaan kesihatan di AS.
Sebaliknya, pengeluar sarung tangan Malaysia telah menunjukkan komitmen kukuh terhadap pasaran Amerika Syarikat.
Contohnya, Supermax Corporation Berhad telah melabur AS$350 juta dalam kemudahan pengeluaran di Texas sebagai bukti dedikasi jangka panjang industri terhadap sistem kesihatan AS.
Industri sarung tangan getah Malaysia juga telah bekerjasama rapat dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan MITI bagi mencegah penyalahgunaan ‘trans-shipment’ serta mempertahankan reputasi negara dalam pengilangan yang bertanggungjawab dan berkualiti.
Justeru, MARGMA menggesa para perunding perdagangan Malaysia supaya mendapatkan layanan khusus mengikut sektor seperti yang diberikan kepada industri strategik lain agar penyedia penjagaan kesihatan AS terus menerima bekalan sarung tangan berkualiti tinggi dari Malaysia secara konsisten.
MARGMA juga menegaskan komitmennya terhadap rantaian bekalan global yang mampan dan berharap keputusan tarif kelak mampu mengimbangi prinsip perdagangan adil dengan keperluan kesihatan awam yang mendesak bagi kedua-dua negara. - DagangNews.com








