Margin MR DIY dianggar bertambah baik disokong import produk China lebih murah - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin MR DIY dianggar bertambah baik disokong import produk China lebih murah - AmInvestment

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 April — MR DIY Group (Malaysia) Berhad dijangka mampu mencatatkan margin lebih baik disebabkan sebahagian besar produknya diimport dari China yang ketika ini merekodkan harga amat murah ekoran kelemahan mata wang yuan, kata AmInvestment.
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, margin untung kasar syarikat itu juga harus bertambah baik pada 2025 disebabkan barangan dari China, menyumbang 70 peratus daripada keseluruhan pembekal mereka selain faktor kos pengangkutan yang lebih rendah.


Di samping itu katanya, langkah pengoptimuman yang diambil untuk mengurangkan kos buruh melalui beberapa siri eksperimen seperti usaha pengurangan purata bilangan pekerja bagi setiap cawangan mereka daripada selama ini 11 kepada cuma 10 orang.


"Kami menjangka margin kasar MR DIY boleh meningkat daripada 45.8 peratus pada FY24 kepada 46 hingga 48 peratus pada FY25, didorong kelemahan yuan berbanding ringgit kerana barangan China mendominasi produk jualan mereka," katanya dalam satu nota kajian.


AmInvestment turut mengunjurkan syarikat berkenaan akan mendapat banyak manfaat daripada kadar kos pengangkutan yang lebih rendah, kerana Indeks Kontena Intra-Asia Drewry dilaporkan telah menurun lebih 30 peratus setakat ini berbanding sebelumnya.


Susulan perkembangan positif tersebut, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan saranan 'beli' terhadap MR DIY namun dengan harga sasaran sesaham yang lebih rendah sedikit iaitu kepada hanya RM1.90 berbanding RM2.10 diramalkannya sebelum ini.


Harga sasaran tersebut katanya, adalah berdasarkan kepada sasaran pendapatan keuntungan sebanyak 25 kali ganda sepanjang FY26F, yang turut sejajar dengan purata sejarah selama tempoh tiga tahun direkodkan oleh syarikat berkenaan sendiri.


"Kami terus memberikan penarafan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai neutral tiga bintang kepada MR DIY selain telah melihat berlaku proses pemulihan dalam sentimen pengguna di Malaysia pada suku 1QFY25," kata AmInvestment.


Firma itu berkata, kadar penggunaan gudang secara automatik syarikat tersebut pada masa ini berada sebanyak 50 peratus, manakala kadar kehabisan stok telah meningkat kepada lima peratus daripada 9 hingga 10 peratus pada suku 4QFY24. - DagangNews.com