Margin keuntungan pembuat kereta bukan nasional ditekan berikutan persaingan sengit, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin keuntungan pembuat kereta bukan nasional ditekan berikutan persaingan sengit, kata HLIB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 Mac – Pembuat kereta bukan nasional dikhuatiri terus berdepan tekanan berikutan persaingan semakin sengit daripada pemain baharu, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).


Firma penyelidikan itu berkata, kelompok tersebut ketika ini dicabar syarikat automotif yang menawarkan harga lebih kompetitif serta banyak ciri produk dipertingkatkan bagi menarik ramai pembeli berpotensi.


Tambahnya lagi, situasi dialami berkenaan dijangka memberi kesan negatif kepada prestasi sektor automotif sepanjang 2026, khususnya dari segi jumlah jualan dan margin keuntungan keseluruhan.


“Walaupun pengeluar kereta nasional masih mengekalkan momentum jualan, pemain bukan nasional pula mungkin terus tertekan akibat peningkatan aktiviti promosi dan kos operasi,” kata HLIB dalam nota.


Bagaimanapun menurut firma penyelidikan tersebut, tempahan terkumpul di pasaran adalah kekal kukuh didorong faktor permintaan yang tinggi terhadap dua jenama nasional iaitu Proton dan Perodua.


Kesan tekanan kos jelasnya, namun dijangka sedikit diimbangi oleh situasi pengukuhan nilai ringgit yang lebih teguh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen Jepun pula didapati semakin lemah.

 

Artikel berkaitan: Jualan kenderaan Februari 2026 susut 19% disifatkan kelembapan sementara industri automotif - MAA

 

HLIB menamakan MBM Resources Berhad dan Sime Darby Berhad sebagai pilihan utama sektor, disokong pendedahan kukuh kepada Perodua serta prestasi segmen industri dan operasi antarabangsa mantap.


“Di samping itu, kedua-dua syarikat berkenaan dikenal pasti berjaya menawarkan pulangan dividen yang menarik sekitar 5% hingga kira-kira 7% kepada pelabur saham mereka selama ini,” jelasnya.


Dari segi prestasi pasaran, jumlah volum industri (TIV) Malaysia susut kepada 52,400 unit pada Februari 2026, terjejas oleh jumlah hari bekerja yang lebih rendah sempena cuti Tahun Baharu Cina.


Secara kumulatif, TIV bagi dua bulan pertama namun naik 0.7% kepada 116,700 unit, dipacu jualan kukuh Proton, walaupun sebahagiannya diimbangi prestasi lebih lemah Perodua dan pengeluar Jepun.


Dalam segmen kenderaan elektrik (EV) pula jelas firma penyelidikan tersebut, jualan mencecah 9,900 unit atau 8.5% daripada TIV, didorong terutamanya oleh pelancaran model baharu Proton eMas 5.


"Secara keseluruhan, kami menjangka sektor automotif kekal mencabar dalam tempoh terdekat dengan tekanan margin berterusan, meskipun permintaan domestik berdaya tahan," kata HLIB. - DagangNews.com