KUALA LUMPUR 2 Mac – Tekanan margin melibatkan operasi IHH Healthcare Berhad di Singapura dan India serta risiko terjemahan mata wang asing (forex) menjadi isu kritikal yang membayangi prospek syarikat.
Bagaimanapun menurut penganalisis, kumpulan penjagaan kesihatan tersebut masih berupaya menutup FY25 dengan pertumbuhan keuntungan yang kukuh disokong operasinya di seluruh Malaysia dan Türkiye.
Keuntungan bersih teras selepas kepentingan minoriti (PATAMI) bagi F25 meningkat 8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.8 bilion, manakala pendapatan tahunannya pula naik 6% kepada RM25.7 billion.
MBSB Research dalam notanya, turut melaporkan bagi suku keempat (4QFY25), PATAMI IHH Healthcare teras melonjak tinggi kira-kira 62% kepada RM512 juta walaupun hasil susut 2% kepada RM6.6 bilion.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' tetapi menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM9.22 daripada RM8.25 selepas diambil kira prestasi FY25 dengan potensi kenaikan harga saham terhad," katanya.
Tambah firma itu, prestasi divisyen hospital dan penjagaan kesihatan (H&H) dipacu pertumbuhan kukuh di Malaysia dan Turkiye, disokong permintaan berterusan terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Pertumbuhan tersebut kata MBSB Research, namun diimbangi kos kakitangan lebih tinggi serta kos permulaan hospital baharu Acibadem Kartal dan Acibadem Vitosha yang mula beroperasi pada 2025.
Segmen makmal pula menunjukkan prestasi lebih lemah dengan hasil FY25 susut 2% kepada RM1.7 bilion dan untung kasar turun 4% kepada RM359 juta, mencerminkan kadar pengambilan perkhidmatan perlahan.
"Kami menjangka FY26 menjadi fasa penjanaan susulan integrasi beberapa hospital baharu di Malaysia, India dan Turkiye, serta pembukaan semula operasi Mount Elizabeth Hospital di Singapura," katanya.
Dalam menangani isu inflasi perubatan sektor swasta jelas MBSB Research, IHH Healthcare diramal memperkenalkan harga yang berasaskan pakej, dan meningkatkan ketelusan dengan syarikat insurans.
Kumpulan itu mungkin memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan untuk menambah baik kecekapan klinikal, tetapi mengingatkan risiko pengukuhan ringgit boleh menjejaskan keuntungan.
Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan TP tidak berubah iaitu RM9.52, serta membayangkan potensi kenaikan sahamnya sekitar 4% serta dan dividen FY26 diunjur sekitar 1%.
"Kami menyifatkan keputusan FY25 sebagai selari jangkaan, dengan keuntungan teras mewakili 99% daripada unjuran, dan dividen sesaham (DPS) 5.5 sen menjadikan jumlah ialah 10.5 sen," katanya.
Menurutnya, walaupun margin kasar menyusut kepada 21.4% pada suku keempat akibat kelemahan di Singapura dan India, operasi Malaysia kekal berdaya tahan manakala pertumbuhan di Turkiye kukuh.
Bagi prospek 2026 pula, RHB Research menjangkakan pertumbuhan hasil dan untung kasar IHH Healthcare berlegar pada kadar rendah hingga pertengahan belasan peratus dalam asas mata wang yang tetap.
"Keadaan ini dipacu momentum aktiviti pelancongan kesihatan, peralihan ke pusat rawatan ambulatori, tanda awal penstabilan di Singapura serta penambahbaikan margin di India," jelas firma penyelidikan itu.
Ia berpandangan kumpulan itu kekal menarik berikutan jejak serantau kukuh, tumpuan pelanggan yang berpendapatan tinggi serta rekod pelaksanaan mantap, dalam persekitaran mencabar. - DagangNews.com








