Manforce meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Manforce meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac – Manforce Group Berhad, penyedia perkhidmatan pengurusan tenaga kerja menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Sejak penubuhannya pada 2005, Manforce telah berkembang menjadi penyedia perkhidmatan pengurusan pekerja yang menyeluruh, termasuk pentadbiran sumber manusia, proses imigresen dan perundangan, penginapan dan pengangkutan, pengurusan gaji, serta koordinasi perubatan dan insurans untuk pekerja asing.

 

Syarikat ini beroperasi merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan, dengan tumpuan kepada industri F&B, runcit, barangan pengguna, penjagaan kesihatan, hartanah dan automotif, serta mempunyai operasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Menurut prospektus yang diterbitkan di laman Bursa Malaysia, IPO Manforce terdiri daripada 99.98 juta saham baharu dan 19.99 juta saham sedia ada, mewakili 25 peratus daripada jumlah saham selepas IPO sebanyak 399.98 juta saham.

 

Peruntukan saham IPO dibahagikan kepada beberapa kategori dengan orang awam akan ditawarkan 19.99 juta saham, manakala pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat akan menerima 10 juta saham. 

 

Selain itu, 19.99 juta saham diperuntukkan kepada pelabur terpilih, dan 29.99 juta saham dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

 

Selain itu, tawaran jualan 19.99 juta saham sedia ada juga akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian. 

 

Perjanjian taja jamin dengan M&A Securities merangkumi 29.99 juta saham, termasuk saham untuk orang awam dan individu berkaitan, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan IPO.

 

Pengarah Urusan Manforce Group Berhad, Datuk Wong Boon Ming berkata perjanjian taja jamin ini adalah langkah penting dalam perjalanan syarikat untuk disenaraikan di Pasaran ACE. 

 

“Syarikat akan menggunakan hasil IPO untuk memperluas kapasiti pengurusan pekerja, meningkatkan sistem IT dan automasi, serta memperkukuh ekosistem perkhidmatan.

 

“Proses IPO ini juga bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, kemampuan skala perniagaan, serta inovasi dalam perkhidmatan pengurusan tenaga kerja,” katanya.

 

Dengan langkah ini, Manforce berharap dapat terus menjadi rakan kongsi yang dipercayai dan bertanggungjawab dalam pengurusan pekerja di Malaysia.

 

M&A Securities berperanan sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin dan Ejen Penempatan bagi IPO, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat Kewangan bagi syarikat. - DagangNews.com