Malaysiakini buat laporan polis susulan RM3 juta dana anak syarikat diseleweng ke pelaburan haram | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysiakini buat laporan polis susulan RM3 juta dana anak syarikat diseleweng ke pelaburan haram

Foto kredit Malaysiakini
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mac — Portal berita tempatan, Malaysiakini membuat laporan polis selepas mendapati kira-kira RM3 juta daripada dana milik anak syarikatnya sendiri diseleweng kepada entiti pihak ketiga.


Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Pengarah Mkini Group Sdn Bhd berkata, ia disyaki menjalankan skim pelaburan yang tidak berlesen dan kegiatan itu dipercayai berlaku antara Mac 2023 hingga Mac 2024.


Selain itu tambahnya, kes melibatkan beberapa bekas kakitangan utama, dan isu terbongkar hasil proses siasatan dalaman dengan sokongan penasihat undang-undang bebas serta perunding kewangan.


"Transaksi tersebut sebelum ini tidak dikesan kerana akaun teraudit syarikat bagi 2023 dan 2024 merekodkan dana berkenaan sebagai 'deposit tetap yang ditempatkan di bank berlesen'," katanya.


Susulan penemuan berkenaan, lembaga pengarah memaklumkan yang laporan sudah dibuat kepada polis selain memaklumkan perkara serius tersebut kepada pihak pengurusan dan kakitangan syarikat itu.


Dalam pada itu, Pengasas Bersama Malaysiakini, Steven Gan melahirkan perasaan kecewa terhadap insiden berkenaan dan meminta syarikat tersebut agar memperketatkan lagi proses kawalan dalaman.


“Kami amat terkesan dengan kes ini, dan dikhianati oleh kakitangan paling dipercayai merupakan satu tamparan hebat,” katanya sambil menegaskan syarikat bertekad mendapatkan semula dana itu.


Seorang lagi pengasas bersama portal tersebut, Premesh Chandran berkata, penyelewengan akaun itu menjejaskan rizab kewangan syarikat namun masih lagi tidak mengganggu operasi harian mereka.

 

 

 

 

 


Tambah beliau, dana tersebut yang dikumpulkan sejak sedekad lalu merupakan sebahagian besar rizab syarikat itu sendiri dan penyelewengannya memberi kesan kepada ketahanan kewangan organisasi.


Lembaga pengarah bagaimanapun berkata perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa susulan siasatan dan kemungkinan tindakan undang-undang dilaksanakan. - DagangNews.com