KUALA LUMPUR 9 Julai - Malaysia mengumumkan secara rasmi pencalonannya untuk pemilihan semula ke Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030.
Pengumuman dibuat oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, semasa sesi ucapan pemimpin di Acara Peringkat Tinggi Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) di Geneva, hari ini.
Fahmi berkata, Malaysia kekal sebagai pemain aktif dalam ITU, daripada komitmen dalam inisiatif Partner2Connect hinggalah mengetuai kumpulan kajian ITU dan menganjurkan program latihan pembangunan kapasiti.
"Sehubungan itu, kami memohon pemilihan semula ke Majlis ITU bagi penggal 2027–2030 dengan matlamat yang jelas untuk membantu membina sebuah masyarakat global yang lebih berhubung, berpengetahuan dan inklusif.
“Kami mengulangi komitmen penuh kami untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi bagi meningkatkan keterangkuman digital, mengukuhkan daya tahan dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam era digital ini,” katanya.
Ketika ini, Malaysia adalah ahli Majlis ITU yang telah dipilih bagi penggal 2023-2026, yang membolehkan negara ini menyertai usaha membentuk hala tuju dasar strategik ITU dan mewakili kepentingan rantau Asia dalam bidang telekomunikasi dan infrastruktur digital.
ITU ialah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi telekomunikasi dan teknologi digital yang memperuntukkan spektrum frekuensi radio, membangunkan piawaian antarabangsa untuk memastikan keserasian rangkaian komunikasi serta berusaha merapatkan jurang digital di seluruh dunia.- DagangNews.com








