Malaysia tidak setuju asas pengiraan, mahu penjelasan tarif Trump - Tengku Zafrul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia tidak setuju asas pengiraan, mahu penjelasan tarif Trump - Tengku Zafrul

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 April — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah langsung mengenakan tarif konon sebanyak 47 peratus ke atas import produk Amerika Syarikat (AS).


Perkara tersebut ditegaskan menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan beliau sendiri mengadakan pertemuan dengan Duta Besar AS, Edgard D Kagan pagi tadi bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung asas pengiraan tarif negara berkenaan.


"Kerajaan menafikan dakwaan tarif 47 peratus yang dikenakan ke atas import AS. Malaysia langsung tidak bersetuju dengan asas pengiraan tarif ini dan sedang mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu," kata beliau pada sidang akhbar khas hari ini.


Pada 4 April 2025, MITI mengeluarkan kenyataan terhadap pengumuman Presiden Donald Trump akan melaksanakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas Malaysia sebagai tindak balas konon negara ini mengenakan tarif 47 peratus terhadap import AS.


Mengulas lanjut, Tengku Zafrul ketika ditanya pemberita berkata, angka tarif yang konon dikenakan Malaysia ke atas produk AS itu mungkin merupakan rumusan hasil defisit lebihan dagangan antara kedua-dua negara yang memihak kepada Malaysia.


"Asas pengiraan yang kurang tepat ini telah mengakibatkan Malaysia dikenakan pula tarif timbal balas pada kadar 24 peratus namun kadar itu boleh dianggap sederhana berbanding beberapa negara serantau lain kecuali Singapura," katanya.


Beliau merujuk tarif AS yang lebih tinggi ke atas Kemboja sebanyak 49 peratus, diikuti Indonesia (32 peratus), Laos (48 peratus), Myanmar (45 peratus), Thailand (37 peratus) dan China (34 peratus) manakala Singapura pula hanya 10 peratus.

 

zafrul


Apabila ditanya kenapa Singapura cuma dikenakan tarif yang rendah, Tengku Zafrul sendiri tidak pasti apa alasannya dan berkata, mungkin kerajaan AS sahaja boleh memberi jawapan bagaimana pengiraan itu boleh pula dibuat berbeza-beza.


"Bagaimanapun saya ingin tekankan bahawa Malaysia bertekad untuk menjadi rakan dagang yang boleh dipercayai, sentiasa bersikap terbuka kepada pelaburan dan kami komited kepada kesemua rakan dagang utama, termasuk AS dan China," katanya.


Justeru ujarnya, kerajaan menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan berterusan dengan perbelanjaan isi rumah berdaya tahan; pelaburan domestik kukuh; hasil pelancongan teguh, dan pelan-pelan induk sedang dilaksanaan bagi mengharungi cabaran ini.


Selain itu, Tengku Zafrul turut mengulangi beberapa langkah yang telah dilaksanakan MITI dalam menangani impak tarif AS itu antaranya mempelbagaikan dan meluaskan pasaran eksport
termasuk pasaran rantau Asia Barat, Afrika dan Amerika Selatan 


"Kita perlu berterus terang bahawa impak langsung tarif ini adalah dari segi pertumbuhan Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, dan mungkin tahun-tahun akan datang kerana Malaysia salah satu rakan dagangan terbesar AS di ASEAN," katanya.


Kesan ini jelas beliau, dijangka meluas kerana tarif juga dikenakan ke atas hampir setiap rakan dagang dan sumber pelaburan Malaysia. Jika banyak negara melaksanakan tarif timbal balas, perang perdagangan bakal menggugat pertumbuhan ekonomi global. - DagangNews.com