KUALA LUMPUR 9 April – Malaysia muncul antara peneraju utama pertumbuhan Lazada di Asia Tenggara apabila nilai dagangan kasar (GMV) menerusi LazMall meningkat ketara lebih 12 kali ganda.
Pertumbuhan positif itu dicatatkan sepanjang kempen jualan ulang tahun ke-14 platform e-dagang tersebut pada akhir Mac 2026, sekali gus mencerminkan sambutan kukuh para pengguna tempatan.
Lazada Group berkata, secara keseluruhan, GMV platform itu di Malaysia meningkat lebih 5.5 kali ganda berbanding tempoh bukan kempen, mengatasi pertumbuhan serantau sebanyak 3.5 kali ganda.
"Lonjakan ini memperlihatkan perubahan ketara corak pembelian apabila pengguna lebih mengutamakan kepercayaan dan ketulenan produk dengan memilih kedai rasmi jenama," katanya dalam kenyataan.
Di peringkat serantau pula jelasnya, LazMall berjaya mencatat pertumbuhan sebanyak enam kali ganda dan menyumbang kira-kira 60% daripada GMV platform serta sebanyak 41% jumlah tempahan dicatatkan.
Di pasaran Malaysia, segmen berkenaan ujar Lazada, turut menyumbang sejumlah 41% daripada keseluruhan jualan, sekali gus menunjukkan hampir separuh transaksi datang daripada kedai rasmi.
Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga memainkan peranan penting apabila ciri seperti pembantu beli-belah 'Lazzie' membantu pengguna membuat keputusan dengan lebih pantas dan tepat.

"Sepanjang kempen, teknologi AI menyumbang hampir AS$3 juta (kira-kira RM11.95 juta) GMV dengan seramai 100,000 pengguna melengkapkan pembelian selepas berinteraksi dengan sistem itu," katanya.
Pada masa sama, ciri SmartStack mampu menarik sekitar 2.5 juta pengguna harian di rantau ini, dengan trafik meningkat 38%, manakala interaksi pengguna dengan Lazzie meningkat empat kali ganda.
Dari segi kategori, pengguna Malaysia menunjukkan pembelian lebih yakin meliputi barang keperluan dan gaya hidup, dengan peralatan rumah mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 30 kali ganda.
Di samping itu jelas Lazada, pembelian banyak dicatatkan ke atas pelbagai model telefon pintar dan tablet (28 kali), diikuti kasut sukan dan pakaian (24 kali), serta barangan runcit (21 kali).
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Kaya Qin berkata, pengguna kini semakin teliti dalam membuat keputusan pembelian dengan memberi penekanan kepada kepercayaan, ketulenan dan kemudahan.
"Perkembangan itu mencerminkan arah baharu e-dagang, yang semakin menonjol sebagai pasaran dengan pengguna lebih matang, berinformasi dan berkeyakinan dalam berbelanja," katanya. - DagangNews.com








