KUALA LUMPUR 18 Feb — Malaysia muncul sebagai peneraju yang berjaya dalam usaha mengembangkan akses liputan kepada perumahan mampu milik di ASEAN, menurut data diterbitkan firma rakan agensi hartanah global Asia, IQI.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kashif Ansari berkata, Malaysia mengatasi negara-negara serantau dengan berbelanja jumlah yang besar walaupun ia memiliki sumber terhad untuk pembangunan rumah berkenaan.
“Dengan populasi 34 juta dan pendapatan per kapita RM51,001, harga pangsapuri di Kuala Lumpur juga adalah purata lebih murah berbanding rumah persendirian di Jakarta, Hanoi, Bangkok, Manila atau Singapura," jelasnya.
Laporan itu melihat perbelanjaan sepanjang 2024 di Malaysia sahaja menyaksikan pelaburan RM2.85 bilion untuk isu perumahan dengan hanya tiga negara ASEAN iaitu Singapura, Vietnam dan Thailand didapati berbelanja lebih.
Segala peruntukan itu ujarnya, memberi kesan besar, dengan Malaysia kemungkinan besar dapat mencapai sasaran akhir Rancangan Malaysia Ke-12 untuk pembinaan sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2026.
Jumlah itu kata Kashif, kelihatan bercita-cita tinggi namun sejumlah 443,259 unit telah siap setakat hujung September tahun lalu, yang bermakna ada kurang daripada 60,000 unit lagi perlu dibina pada 2025 dan 2026.
“Angka 500,000 unit itu hanya bersamaan dengan 50 peratus daripada tunggakan rumah mampu milik dibina di seluruh negara iaitu kira-kira sejuta unit namun kemajuan itu adalah luar biasa di ASEAN," tambah beliau.
Beliau memberikan contoh tiga negara iaitu Kemboja, Laos, dan Myanmar yang pada dasarnya langsung tidak ada sebarang projek pembinaan rumah mampu milik untuk dibeli rakyatnya yang disokong pihak kerajaan sendiri.
Pelaburan Malaysia jelas beliau, turut membantu mengekalkan harga rumah manakala kediaman standard di Kuala Lumpur adalah berpatutan jika dibandingkan dengan rumah yang berprestasi tinggi di Hanoi, Bangkok dan Manila.
Kashif turut merujuk antara perkembangan penting tahun ini apabila Malaysia selaku Pengerusi ASEAN mempamerkan aspek perumahan mampu milik selaras dengan slogan blok serantau iaitu ‘Keterangkuman dan Kelestarian’.
“Apabila dibandingkan data Malaysia dengan negara-negara ASEAN yang lain, kita mendapati bahawa kerajaan Malaysia sangat komited terhadap aspek kebolehcapaian perumahan kepada rakyat biasa dan itu penting," tambah beliau.
Perkembangan tersebut juga jelasnya, sejajar dengan unjuran bahawa 1.4 juta orang akan berpindah ke kawasan bandar di seluruh negara menjelang 2030 ketika ada enam negara ASEAN lain kurang memberikan tumpuan.
Perbandingan itu mendedahkan bahawa iau perumahan mampu milik adalah keutamaan negara yang kritikal tetapi tidak di mana-mana negara di ASEAN dengan usaha pembinaan rumah mampu milik Malaysia juga berdaya saing.
Berdasarkan perbelanjaan per kapita, Malaysia kata Kashif, mengatasi lima rakan setara ASEAN lain dan berada dalam kedudukan berprestasi terbaik malahan mendahului negara-negara lain di ASEAN pada 2025. - DagangNews.com








