Malaysia-Poland teroka kerjasama industri pertahanan, pemindahan teknologi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia-Poland teroka kerjasama industri pertahanan, pemindahan teknologi

Presiden Andrzej Duda (tengah) semasa melawat Rejimen 2 KAD di Kem Sunggala, Port Dickson.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 11 Jun - Hubungan pertahanan Malaysia dan Poland diterjemahkan semasa lawatan pemimpin negara tersebut, Andrzej Duda yang melawat Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (KAD) di Kem Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

Kunjungan Presiden Poland ke kem itu semalam adalah sebahagian daripada atur cara hari kedua lawatan rasminya ke Malaysia.

 

Andrzej Duda bersama delegasi rasmi diberi taklimat mengenai peranan, keupayaan dan struktur organisasi 2 KAD.

 

Presiden itu turut diberi penerangan mengenai kereta kebal Pendekar PT-91M, AV8 Gempita dan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) FlyEye yang dikeluarkan oleh syarikat Poland, WB Electronics.

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

Penggunaan FlyEye UAS menambah kelebihan strategik ATM dalam operasi risikan dan pemantauan medan tempur.

 

Beliau juga melihat sistem komunikasi Fonet yang dipasang pada kenderaan tempur AV8 Gempita.

 

Fonet merupakan sistem komunikasi tanpa wayar yang dibangunkan oleh syarikat WB Electronics khusus untuk kenderaan AV8 Gempita menerusi kerjasama dengan Deftech.

 

WB Group (WBG) melalui syarikat di Malaysia, WB Technologies Sdn. Bhd. memeterai perjanjian offset pemindahan teknologi dengan Mindef dan Deftech pada April 2018.

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

WBG telah memulakan aktiviti pemasarannya di Malaysia pada tahun 2008 bagi menawarkan penyelesaian dalam bidang sistem komunikasi medan tempur.

 

Mengiringi lawatan ini ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim

 

Lawatan tersebut mencerminkan usaha kedua-dua negara untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang pertahanan dan teknologi ketenteraan.

 

Hubungan erat antara Malaysia dan Poland sebelum ini terbukti melalui pembelian kereta kebal PT-91M Pendekar buatan Bumar Labedy pada tahun 2002.

 

Kenderaan
Kereta kebal PT-91M Pendekar.

 

Pembelian ini membuka ruang kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara kerana Poland bukanlah negara pembekal senjata utama Malaysia.

 

PT-91M dibina berasaskan kereta kebal PT-91 Twardy milik Poland yang mana ia menggunakan sistem kawalan dan persenjataan buatan pelbagai negara.

 

Pengoperasian kereta kebal tersebut memberikan keupayaan tinggi dari segi mobiliti dan daya tembak dalam pelbagai operasi darat. 

 

Poland mempunyai industri pertahanan yang baik di Eropah termasuk menghasilkan kenderaan perisai, sistem pertahanan elektronik, meriam selain mempunyai rangkaian sistem pertahanan udara yang seimbang. - DagangNews.com